PUTRAJAYA kalau ikut nama dalam bahasa Melayu adalah ‘putera yang berjaya’ – suatu tanggapan mengukuhkan kejayaan anak diraja, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Menamakan metropolis Persekutuan ini sebagai tanda penghormatan kepada Perdana Menteri (PM) pertama Malaysia itu, mengingatkan rakyat sumbangan Tunku jangan sesekali diketepikan.
Satu ketika perbelanjaan menyiapkan Putrajaya yang kosnya bawah RM9 bilion dikritik parti pembangkang. Kos termasuk kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana menelan belanja RM220 juta apabila siap pada 1999, mengundang kritikan ia terlalu mewah untuk dijadikan tempat kediaman seorang PM. Padahal banyak perkara tidak diketahui oleh pengkritiknya bahawa PM hanya menduduki sebahagian kecil daripada keseluruhan bangunan. Sebahagian besar daripada tempat kediamannya adalah untuk tetamu awam dan dari luar negara.
Pernah sebuah parti menuduh kerajaan sebagai membazir dengan membina sebuah projek yang penuh dengan kemewahan semata-mata untuk satu orang. Ia sehinggakan presiden parti itu mencadangkan mungkin Putrajaya harus dilelongkan ‘untuk menjaga kebajikan rakyat.’ Itu pada 1998. Sejak itu selepas beribu-ribu rakyat datang dari dekat dan jauh melawat ke tempat itu, bantahan politik melaungkan ‘mahal’ itu telah kebuntuan, akhirnya senyap.
Penjelasannya mudah, tempat kediaman PM itu satu warisan awam. Sesiapa yang menjadi PM, tak kira dari parti mana pun, akan tinggal di kediaman itu.
Putrajaya adalah puncak kekuasaan Persekutuan. Ia tidak terlepas daripada kancah politik. Penguasaannya dalam pilihan raya ibarat ‘memegang tanduk politik.’ Pada Mac 2004, Putrajaya dijadikan kawasan pilihan raya Parlimen terbaharu dengan pengundi berdaftar seramai 5,986 orang. Ia atas usaha Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Setiausaha Eksekutif UMNO, yang telah menjadikan seluruh kawasan itu sebagai kerusi yang memberi prestasi terbaik di negara ini dari segi perpaduan dan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
NEPOTISME
Sejak dari itu, Tengku Adnan mengekalkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Putrajaya. Tidak kalah, menang pun tidak tipis.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau meraih majoriti 3,372 undi menewaskan Samsu Adabi Mamat dari Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 8,776 undi dan Zainal Abidin Kidam (Pas) yang mengutip 3,634 undi. Daripada keseluruhan 27,306 pengundi berdaftar di Putrajaya, Tengku Adnan memperoleh 12,148 undi.
Adakah Tengku Adnan, 71, akan bertanding lagi untuk penggal kelima di Putrajaya dalam PRU15 nanti? Difahamkan, beliau tidak akan turun bertanding kali ini, tetapi anaknya, Dr. Tengku Iqbal Munawwir khabarnya ada ura-ura ke pencalonan kerusi bapanya.
Sama ada satu langkah tepat untuk UMNO menampilkan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya itu, langit politik Malaysia hari ini kian terbuka. Untuk UMNO barangkali satu perkara yang perlu ditangani ‘penuh kewaspadaan, beringat-ringat’ akan natijah ‘pewaris.’
Kalau dalam perkataan Latin, nepos atau nepotisme. Ia bermakna anak saudara atau cucu. Istilah mudah bahasa Melayu ialah politik anak-beranak. Nepotisme biasa berlaku dalam politik dengan pemimpin yang menerajui sesebuah parti akan menurunkan kepada anak beranaknya kuasa tertinggi walaupun ada yang tidak layak untuk mendudukinya – seperti mana nepotisme berleluasa dalam keluarga Rajapaksa sehingga akibatkan Sri Lanka muflis, runtuh.
Biarpun begitu, bagi parti-parti pesaing UMNO seperti PKR dan DAP, pencalonan anak beranak bahkan bab ‘diwarisi’, itu isu biasa.
Kepada Nurul Izzah anak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah beliau menegaskan budaya ‘politik anak-beranak’ dalam PKR membabitkan ahli keluarganya tidak boleh dianggap amalan nepotisme.
“Saya boleh katakan begini, dalam mana-mana perjuangan memang ada warisannya. Sudah pasti kalau kita nak teruskan perjuangan, tentunya kita mahu anak-anak kita mewarisi idea-idea perjuangan tersebut. Tentunya kita mahu anak-anak kita memahami kenapa pegang kepada prinsip itu,” katanya ketika menjadi ahli panel Forum Anak Muda sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada Mei 2015.
Malah, kata Nurul Izzah, amalan politik warisan yang berlaku dalam PKR tidak sebagaimana wujud dalam syarikat yang berasaskan keuntungan.
“Kita tak mewarisi syarikat Sdn. Bhd. Contohnya bila ada projek kerajaan, GLC dipilih. Set up syarikat…mari kita letak anak kita, letak adik beradik kita.
“Kita terima dana daripada kerajaan Pusat sementara kita pegang jawatan menteri, itu pada saya makna nepotisme,” katanya.
DINAMIK, TAKTIKAL
Dinasti Lim dari DAP misalnya dianggotai anak beranak Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan adiknya, Lim Hui Ying. Berdekad lamanya. Bagaimanapun, Kit Siang mengumumkan berundur daripada politik pada 22 Mac tahun ini.
Meski demikian, cara berpolitik DAP tidak merugikan. DAP tidak berminat memiliki jumlah ahli ramai. Cukup yang intelligent sahaja. Setiap daerah ada pemikirnya. Ada parti yang gemar angka itu hingga ahli berjuta orang tetapi DAP hanya ada tidak kurang 200,000 orang tetapi pukulannya seolah-olah tidak terperi. Kekuatan parti itu berada di Pusat dan berakar umbi di setiap negeri.
Melalui PRU14 pada 9 Mei 2018, DAP memiliki 42 ahli Dewan Rakyat, tujuh ahli Dewan Negara serta 109 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Jika tidak disebabkan ‘Langkah Sheraton’ Februari 2020, DAP masih lagi menyandang Timbalan Speaker Dewan Rakyat, enam menteri, seorang duta khas serta tujuh timbalan menteri.
Di Putrajaya, meskipun nama Tengku Iqbal Munawwir agak disebut-sebut mewakili UMNO-BN di situ, satu dua nama lagi dari UMNO turut diperbualkan termasuklah Khairy Jamaluddin dan Tun Faisal Ismail Aziz. Bagaimanapun, yang hinggap di telinga Utusan Malaysia, UMNO sedang mencari calon boleh menang yang cenderung kepada parti itu dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan. Mungkin juga diplomat yang cukup dihormati.
“Kerusi Putrajaya tidak pernah terlepas daripada UMNO. Politik hari ini amat dinamik, taktikal dan perlukan perubahan berani, jangkaan tepat,” kata seorang pemimpin kanan parti itu, baru-baru ini.
Putrajaya perlukan muka baharu. Hari ini anda sendiri boleh lihat politik Malaysia terus didominasi oleh orang yang sama, balik balik orang itu. Tidak ada orang lain. Tukar-tukar baton.
Tidak mungkin politik Malaysia boleh maju kalau personaliti yang sama ini masih bersarang dalam lapangan ini. Mengapa tidak berjiwa besar, berehat, berundur dengan memberi laluan kepada barisan pelapis?
Hari ini melihat drama kemelut politik tanah air yang masih dimainkan oleh ‘tok-tok dalang’, kita yakin rakyat sudah meluat.
Adakah ini semua memberi mesej yang salah kepada rakyat Malaysia, khususnya orang muda – yang kita ada hanya kepimpinan politik yang dimakan usia? – UTUSAN










