Mahkamah beri tempoh sebulan untuk Khalid Redza lantik peguam

Mahkamah beri tempoh sebulan untuk Khalid Redza lantik peguam

KHALID Redza Shuib (kiri) bersama anak perempuannya (berbaju merah) yang berusia 18 tahun ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 13 April lalu.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari memberi tempoh sebulan kepada tertuduh, Khalid Redza Shuib untuk melantik peguam atas pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas seorang wanita dan kes pengabaian kanak-kanak.

Hakim, Rushan Lutfi Mohamed berkata, Khalid Redza, 41, perlu melantik peguam segera sebelum prosiding kes diteruskan.

“Kalau tiada peguam, awak kena bawa sendiri kes ini. Mahkamah bagi tempoh sebulan untuk pelantikan peguam,” katanya.

Terdahulu, Khalid Redza yang merupakan seorang peniaga, berkata dia masih belum melantik peguam dan memerlukan sedikit masa kerana tidak dapat berhubung dengan keluarga.

Dalam prosiding kes, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memberitahu, laporan perubatan kes telah diperoleh dan memohon satu tarikh untuk penyerahan dokumen serta lantikan peguam oleh tertuduh. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah kepada Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit melecur yang didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi yang sama antara 1 Disember 2020 hingga 23  Mac 2022. Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 18 Ogos ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, mahkamah turut memerintahkan Khalid Redza yang dituduh membunuh seorang kanak-kanak perempuan dan wanita ditemui dalam gaung disebut semula pada tarikh sama.

Majistret, Mohd. Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan memaklumkan laporan makmal, forensik dan kimia masih belum diperoleh hari ini.

Khalid Tedza turut berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. 

Pada prosiding berkenaan, peguam pemerhati, Noor Azizi Abdull Aziz yang mewakili pihak keluarga mangsa Siti Syarifah turut hadir di mahkamah.

Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan berusia lima tahun susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu. 

Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN