KOTA BHARU : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendedahkan lupa tarikh tamat moratorium Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lesen memandu jadikan sebagai modal oleh segelintir pemandu bagi mengelakkan disaman.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, alasan tersebut tidak sesuai dijadikan sebagai ‘modal’ kerana sebelum ini pihaknya sudah memaklumkan bahawa tempoh moratorium sudah berakhir pada 30 Jun lalu.
“Alasan ini hasil Op Hari Raya Aidiladha 2022 yang dijalankan di Jalan Pasir Hor-Kubang Kerian di sini malam tadi.
“Sepanjang operasi itu sebanyak 868 notis saman terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan trafik,” katanya.
Mohd. Misuari Abdullah memberitahu, kegagalan memperbaharui lesen memandu dan tiada lesen antara kesalahan yang banyak direkodkan semalam.
Katanya, operasi tersebut turut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Sebanyak 5,432 kenderaan diperiksa termasuk 318 buah bas dan 32 pemandu menjalani ujian saringan.
“JPJ Kelantan turut menyita sebuah kereta atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh. Kita juga mengambil tindakan terhadap empat buah lori dengan dua daripada tidak mengikut syarat pemasangan,” ujarnya. – UTUSAN










