Lokasi penggambaran Mat Kilau mungkin jadi destinasi pelancongan

Lokasi penggambaran Mat Kilau mungkin jadi destinasi pelancongan

NOLEE Ashilin Mohamed Radzi  (dua dari kanan)  melancarkan program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri sedia mempertimbang cadangan menjadikan lokasi penggambaran filem Mat Kilau di Padang Koba Teluk Bakong dekat Bota, sebagai destinasi tarikan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, cadangan tersebut dilihat baik untuk menarik kehadiran pelancong bagi mengunjungi lokasi penggambaran filem itu.

“Setakat ini kita belum lakukan apa-apa lagi untuk kekalkan lokasi pengambaran filem itu kerana difahamkan ia bukan set kekal.

“Bagaimanapun, kita akan lihat semula cadangan itu sama ada perlu untuk mengekalkannya sebagai destinasi popular dalam perfileman,” katanya dalam sidang akhbar program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Perak mempunyai banyak lokasi menarik yang sesuai dijadikan set penggambaran dan ia telah terbukti menerusi beberapa filem sebelum ini.

Malah katanya, sejak 2016 di bawah Perak Film Office (PFO) telah menyediakan khidmat membantu pengusaha filem mendapatkan lokasi yang bersesuaian dengan kehendak mereka.

Katanya, langkah itu berjaya memperkenal banyak lokasi menarik di Perak termasuk Kapal Korek Warisan Negara iaitu Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) yang dilakukan beberapa siri penggambaran di situ.

“Sebenarnya, Perak banyak kali menjadi pilihan produser-produser filem untuk menjalankan penggambaran di sini kerana lokasinya agak berlainan dan memenuhi keperluan penggambaran.

“Jaraknya yang dekat dengan Kuala Lumpur juga menyebabkan mereka kerap datang. Kita berharap banyak lagi lokasi-lokasi di negeri ini mendapat perhatian penggiat perfileman pada masa akan datang,” katanya.

Selain filem Mat Kilau, Padang Koba Telok Bakong sebelum ini pernah dijadikan lokasi penggambaran drama bersiri epik Kota Setia pada 1996. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN