Lelaki mengamuk cari isteri - Utusan Malaysia

Lelaki mengamuk cari isteri

PONDOK yang dibakar suspek selepas berang tidak dapat menemukan isterinya di Taman Seri Astana, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki mengamuk dengan membakar pondok dan memecahkan cermin sebuah kenderaan dipercayai berang kerana gagal menemukan isterinya dalam kejadian di Taman Seri Astana di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang berusia 54 tahun juga didapati memegang parang ketika kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu.

“Suspek sebelum itu dikatakan mencari isterinya di rumah mereka di taman perumahan di situ selain di pasar pagi namun tidak menemukannya.

“Lelaki terbabit kemudian ke kedai makan yang sebelum ini diusahakan bersama isterinya dan masih tidak menemukan wanita berkenaan,” katanya di sini.

Jelas Zaidy, suspek yang berang terus mengamuk dan membakar pondok di belakang kedai makan milik mereka itu.

“Suspek yang juga seorang penganggur meme­cahkan cermin kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria milik orang awam yang diletakkan berdekatan kedai makan itu,” katanya.

Menurutnya, suspek kemu­diannya melarikan diri ke kawasan semak di belakang pondok yang dibakarnya, sebelum polis yang menerima laporan kecemasan bergegas ke lokasi dan menahan suspek.

“Ketika ditahan, suspek tidak melawan dan mengaku bertindak sedemikian kerana tertekan akibat masalah rumah tangga. Polis merampas parang dan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan empat rekod dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435/427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, khianat pe­cah cermin kenderaan dan ugutan jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya