RAMALLAH: Rakyat Palestin di Tebing Barat dan kawasan tengah Gaza mula mengundi pada Sabtu dalam pilihan raya majlis perbandaran. Ia merupakan pengundian pertama sejak perang Gaza yang berlangsung dalam suasana pilihan politik yang terhad dan kekecewaan meluas.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat yang berpangkalan di Ramallah. hampir 1.5 juta orang berdaftar untuk mengundi di Tebing Barat yang diduduki Israel, selain 70,000 pengundi di kawasan Deir el-Balah di Gaza.
Pusat pengundian dibuka pada pukul 7 pagi waktu tempatan..
Rakaman AFP dari Al-Bireh di Tebing Barat dan Deir el-Balah, Gaza menunjukkan pegawai-pegawai pilihan raya berada di pusat mengundi ketika rakyat Palestin datang membuang undi.
Kebanyakan senarai calon berkait dengan parti nasionalis sekular Fatah yang dipimpin Presiden Mahmud Abbas atau menampilkan calon bebas.
Tiada senarai yang berkait dengan Hamas, seteru utama Fatah yang menguasai hampir separuh Semenanjung Gaza.
Di kebanyakan bandar, calon yang disokong Fatah akan bertanding menentang senarai bebas yang diketuai tokoh daripada kumpulan seperti Popular Front for the Liberation of Palestine.
Seorang ahli perniagaan dari Tulkarem, Mahmud Bader berkata, beliau tetap akan mengundi walaupun tidak menaruh harapan tinggi untuk melihat perubahan bermakna.
“Sama ada calon bebas atau parti, ia tidak memberi kesan atau manfaat kepada bandar ini. Pihak penjajah (Israel) yang sebenarnya menguasai Tulkarem. Pilihan raya ini hanya imej untuk media antarabangsa seolah-olah kita ada pilihan raya, sebuah negara atau kemerdekaan,” katanya kepada AFP.
Di beberapa bandar utama termasuk Nablus dan Ramallah, hanya satu senarai calon yang dikemukakan dan bermakna calon tersebut menang tanpa bertanding.
Pengundian di Deir el-Balah dianggap sebagai satu ‘eksperimen’ oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) pimpinan Abbas. Kawasan itu dipilih kerana sebahagian besar penduduknya tidak berpindah walaupun selepas lebih dua tahun perang antara Hamas dan Israel berlaku.
Seorang pengundi muda, Farah Shaath, 25, meluahkan rasa teruja untuk mengundi buat kali pertama.
“Walaupun ia tidak seperti pilihan raya lain di dunia, ia adalah pengesahan bahawa kami masih wujud di Semenanjung Gaza di sebalik segala-galanya yang telah berlaku,” ujarnya.
Pusat pengundian di Tebing Barat akan dibuka sehingga pukul 7 malam waktu tempatan. Pengundian akan ditutup lebih awal pada pukul 5 petang waktu tempatan di Deir el Balah bagi memudahkan proses pengiraan undi dilakukan ketika hari masih siang berikutan ketiadaan bekalan elektrik di kawasan yang musnah akibat perang itu. – AFP










