Lelaki ditahan bersama 4kg ganja - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan bersama 4kg ganja

WAN Azharuddin Wan Ismail (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan seorang kelindan lori dalam sidang akhbar di IPD Tapah hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Polis menahan seorang kelindan lori dan merampas dadah jenis ganja dianggarkan seberat empat kilogram bernilai RM10,065 ketika rondaan anggota polis di Kilometer 311.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat sini kelmarin.

Lelaki berusia 44 tahun dipercayai transporter atau penghantar dadah ditahan anggota Polis Peronda Lebuh Raya pada pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek ditahan di lebuh raya tersebut selepas didapati memandu kereta jenis Honda Accord berwarna putih secara berbahaya.

Menurutnya, pemeriksaan oleh anggota polis di dalam kereta dipandu lelaki itu menemukan satu bungkusan beg plastik berwarna hitam.

“Dalam beg plastik tersebut terdapat empat ketulan mampat yang dibalut dengan plastik lutsinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 4,026 gram. Suspek yang berasal dari Bagan Serai dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lembah Klang dan dadah tersebut disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.

Katanya, susulan tangkapan tersebut, polis mengesyaki individu yang ditahan itu mungkin berkaitan dengan sindiket dadah lain manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah.

Katanya, suspek mempunyai tiga kesalahan jenayah lampau iaitu satu rekod di bawah Akta 39B kerana mengedar dadah dan dua rekod di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan dan Akta 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Katanya, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 2,684 penagih dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 2 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas kad lesen vokasional, kad Touch N’ Go, sebuah telefon bimbit dan kereta jenis Honda Accord untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya