Lebih 10,000 kes penipuan online tahun ini, rugi lebih RM300 juta

[Parlimen] Lebih 10,000 kes penipuan online tahun ini, rugi lebih RM300 juta

ISMAIL MOHAMED SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10,468 kertas siasatan dibuka bagi kes jenayah atas talian (online) bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, melibatkan kerugian sebanyak RM 362,614,896.87.

Jumlah itu meliputi 5,169 pertuduhan telah pun dilaksanakan di mahkamah bagi jenayah penipuan pada tempoh yang sama, dengan Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi berbanding kes di tempat-tempat lain sebanyak 1,338 kes.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, jumlah kes yang tinggi itu adalah disebabkan kepesatan pembangunan dan kecanggihan era teknologi ketika ini.

“Ia telah membawa kepada wujudnya pelbagai aplikasi yang membantu memudahkan kehidupan masyarakat moden sama ada dari segi komunikasi, sosial, pertukaran maklumat dan sebagainya.

“Ia juga menjadi faktor penipuan dalam talian semakin meningkat,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, ketika menjawab soalan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) mengenai statistik kes pinjaman wang tidak berlesen seperti Ah Long, penipuan dalam talian (scammer) dan judi online di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian dan polis telah mengadakan kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Interpol dan negara-negara lain untuk memastikan jenayah dalam talian ditangani dengan sewajarnya.

“Kita sememangnya memerlukan kerjasama dengan polis luar negara sama ada Interpol dan sebagainya. Kita sudah mengadakan kerjasama dengan polis Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Macau.

“Kita juga mewujudkan jawatankuasa bersama antara polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), jadi apabila dapat maklumat mesti dibekalkan kepada polis dengan kadar segera. Dulu, kadang-kadang terpaksa menunggu sampai tiga bulan tapi sekarang ini, dua minggu dah dapat atasi dan mengesan panggilan penipuan,” katanya.

Di sebalik usaha tersebut, Ismail mengakui, terdapat keperluan untuk meminda peruntukan undang-undang bagi membanteras jenayah dalam talian dengan lebih berkesan.

“Kita memerlukan pindaan bagi Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk membekukan akaun bank yang kita syaki terlibat dengan aktiviti jenayah penipuan.

“Kita juga membuat cadangan pindaan Seksyen 44 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan pemilik akaun yang membenarkan pihak ketiga digunakan untuk kegiatan jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, bagi kes melibatkan kes pinjaman wang tidak berlesen seperti Ah Long, sebanyak 506 kes melibatkan kerugian bernilai RM 4,280,279.00 bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, dengan Johor mencatatkan kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 86 kes.

Sepanjang tempoh sama, seramai 744 tangkapan telah dibuat dan sebanyak 241 pertuduhan telah pun dilaksanakan.

Bagi jenayah judi dalam talian pula, sebanyak 3,950 serbuan dengan tangkapan seramai 4,754 orang, dengan rampasan wang tunai sebanyak RM762,855.00 dengan jumlah barang rampasan sebanyak 7,544 barang kes bagi tempoh Januari hingga Jun 2022.

Sarawak mencatatkan jumlah serbuan tertinggi iaitu 697 dengan tangkapan seramai 718 orang bagi tempoh yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya