SEREMBAN: Kekurangan bekalan minyak masak peket di pasaran ketika ini didapati berpunca tindakan pengguna beralih ke minyak berkenaan berbanding minyak dalam botol berikutan berbeza harga yang ketara.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah pasar raya dan kedai runcit di daerah ini mendapati, peniaga kehabisan stok minyak masak peket dalam masa singkat sahaja dan ada yang belum menerima stok baharu untuk dijual.
Seorang pengurus stor sebuah pasar raya di Senawang yang enggan dikenali berkata, pasar raya itu akan menerima sebanyak 100 kotak berisi 17 peket minyak masak daripada pembekal.
“Bagaimanapun, kami hanya mengeluarkan 20 kotak sahaja sehari untuk dijual dan pengguna dihadkan untuk hanya boleh membeli dua paket setiap seorang.
“Bagaimanapun, dalam tempoh satu hingga dua jam sahaja, minyak masak peket ini habis. Memang permintaan daripada pengguna sangat tinggi untuk minyak masak peket ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang pekerja di sebuah pasar raya di Sikamat pula memberitahu, sudah seminggu pasar raya berkenaan tidak menerima stok minyak masak peket daripada pihak pembekal.
“Minyak masak peket memang sudah habis, stok sudah seminggu tidak datang. Apabila stok sudah ada nanti tentu tidak sampai beberapa jam, orang ramai akan berkerumun membelinya dan kami kembali kehabisan stok,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan program pemutihan minyak masak peket bagi mengatasi ketirisan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit dan kekurangan bekalan.
Kerajaan juga kata beliau, memberi amaran pembatalan lesen kepada ratusan syarikat yang terbabit dalam pengedaran minyak masak bersubsidi itu.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan, subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai lalu bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan. – UTUSAN









