Laporan kepala air Gunung Inas siap sebelum sidang Parlimen

Laporan kepala air Gunung Inas siap sebelum sidang Parlimen

TAKIYUDDIN Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan cek kepada Presiden PBNK Dr. Naharuddin Hashim selepas merasmikan Kejohanan Badminton Protech Seluruh Kelantan 2022 di Kota Bharu, Kelantan hari ini. -UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan memastikan laporan siasatan berkait dengan kejadian kepala air di Gunung Inas, Baling Kedah sehingga menyebabkan banjir besar disiapkan sebelum sidang Dewan Rakyat pada minggu depan.

Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menjangkakan seluruh ahli Parlimen akan membangkitkan perkara tersebut pada sidang itu nanti.

Menurutnya, semua agensi di bawah KeTSA telah diarahkan mempercepatkan laporan berkait dengan kejadian dibuat.

“Sekarang ini bukan susah sangat (dapatkan maklumat), kita ada dron dan sebagainya tak perlu nak panjat bukit.

“Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) akan guna dron untuk gambar dan Jabatan Mineral dan Geosains membuat kajian dari segi tanah serta sebagainya,” katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas perkembangan terkini isu kepala air di Baling sejurus merasmikan Kejohanan Badminton Protech Seluruh Kelantan 2022 anjuran Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK) di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, Jabatan Perhutanan turut dikerah untuk menjalankan siasatan semua perkara sehingga kejadian tersebut berlaku.

Katanya, selain itu Jabatan Audit Negara sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut untuk mengesan sama ada wujud unsur-unsur lain atau sebaliknya.

“Buat masa ini saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan kerana menunggu hasil siasatan penuh.

“KeTSA sentiasa komited dalam memastikan kelestarian alam sentiasa terpelihara selain menyifatkan kejadian bencana seumpama itu berlaku bukan hanya di negara ini bahkan di seluruh dunia,” ujarnya.

Media pada 4 Julai lalu melaporkan tiga maut dan lebih 800 buah rumah penduduk di Kampung Iboi serta sekitar kawasan Kupang, Baling terjejas selepas dilanda kepala air dari Gunung Inas.

Kejadian pukul 4.30 petang itu turut lenyap 16 buah kediaman manakala 18 lagi rosak teruk akibat terkena kayu balak hanyut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN