CAMERON HIGHLANDS: Setelah kira-kira 40 tahun penduduk masyarakat Orang Asli di Kampung Ngening dan Banda di sini terpaksa menggunakan jalan denai untuk sampai ke kampung tersebut, situasi bakal berubah apabila projek memperbesar jalan terbabit telah mula dijalankan.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, laluan sepanjang tujuh kilometer itu dulunya adalah denai dan menyukarkan penduduk menjalankan aktiviti harian serta kegiatan ekonomi mereka.
“Lantaran projek helipad yang dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan itu, saya menanggung sebahagian kos peruntukan dan selebihnya kerajaan negeri bagi melebar dan membesarkannya, terus ke Kampung Ngening.
“Ia bagi memudahkan urusan penduduk-penduduk di Kampung Ngening dan Banda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ramli berkata, usaha itu diharap memudahkan urusan penduduk kampung terlibat apabila projek pembesaran jalan tersebut siap kelak. – UTUSAN