SHAH ALAM: Hari dinantikan perwakilan hari ini untuk menyaksikan keputusan penuh Majlis Pimpinan Pusat (MPP), selepas proses pemilihan terhadap 73 calon itu selesai kira-kira pukul 6 petang semalam.
Dianggarkan lebih 1,700 perwakilan daripada 2,665 atau 60 peratus turun mengundi bagi memilih 20 MPP bagi sesi 2022 – 2025 pada Kongres Nasional PKR Ke-16 yang berlangsung sejak Jumaat lalu.
Menerusi tinjauan Utusan Malaysia, pada hari terakhir kongres ini, kehadiran perwakilan dan pemerhati sebelum majlis bermula pada pukul 9 pagi tadi dilihat tidak seramai semalam untuk menyaksikan penggulungan MPP semasa yang akan dibubarkan sebentar lagi.
Perwakilan juga pada hari ini bakal menyaksikan penggulungan daripada Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum MPP 2018 – 2021 dibubar.
Kemudian penggulungan akan diteruskan dengan ucapan pemimpin sayap yang baharu Ketua Wanita, Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli.
Seterusnya, empat Naib Presiden baharu, Datuk Seri Aminudin Harun, Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang dan Datuk Seri Aminuddin Shari.
Selain itu, perwakilan juga akan tertumpu kepada ucapan dua kerusi panas iaitu Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan umum sebagai bertembung.- UTUSAN