PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan bukan memantau aktiviti promosi dan penjualan kosmetik di media sosial, malah juga membabitkan di media arus perdana.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, sebarang aktiviti promosi yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan tindakan termasuk pembatalan notifikasi barangan kosmetik masing-masing.
“Seperti saya nyatakan sebentar tadi, bahawa mereka tidak boleh gunakan doktor untuk mempromosikan iklan. Jika ini berlaku, kita ambil tindakan manakala Majlis Perubatan Malaysia ambil tindakan membabitkan profesional doktor terlibat.
“Jika iklan itu salah, kita berharap kementerian berkaitan terhadap media terlibat. Namun kita mengharapkan orang ramai melaporkan perkara ini jika berlaku,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli (PH-Lumut) yang meminta penjelasan kerajaan berhubung ruang iklan yang diberikan penjual kosmetik dan ubatan tertentu di media arus perdana.
Dalam pada itu, Dr. Noor Azmi memaklumkan, 104 produk kosmetik telah dibatalkan status notifikasi manakala 283 diberikan amaran daripada 1,775 iklan yang dipantau.
Katanya, 444 premis telah diserbu yang membabitkan nilai lebih RM4 juta dan menerima 86 aduan mengenai penjualan kosmetik tidak bernotifikasi. – UTUSAN










