Khairy cadang harga menu Rancangan Makanan Tambahan ditambah - Utusan Malaysia

Khairy cadang harga menu Rancangan Makanan Tambahan ditambah

KHAIRY Jamaluddin selepas merasmikan pembukaan Hematogenix di Cyberjaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Peruntukan harga menu dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di semua sekolah kerajaan yang telah ditetapkan sejak 2016 lalu sepatutnya ditambahkan lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kadar bantuan seorang hanya RM2.50 di Semenanjung manakala RM3.50 di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak sesuai ketika ini.

“Kalau tanya saya, peruntukan sedia ada itu memang tidak cukup tampung pembelian bahan mentah menurut menu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Hematogenix, iaitu makmal onkologi berpusat ternama pertama rantau Asia Pasifik di sini.

Isu RMT mula menjadi perhatian ramai susulan pendedahan warganet menerusi media sosial baru-baru ini yang menunjukkan hidangan disediakan amat sedikit dan tidak pun berkhasiat.

Skim itu dilaksanakan Kementerian Pendidikan di Selangor sejak 1979 sebelum diperluas ke seluruh negara pada 1982 untuk murid keluarga miskin, orang kurang upaya dan Orang Asli

Mengulas lanjut, Khairy mendedahkan kajian Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan dari Januari sehingga Jun lalu mendapati hanya 62 peratus sekolah yang memenuhi kriteria.

“Baki 38 peratus lagi pula didapati terpaksa mengurangkan menu dalam pinggan atas alasan konon menanggung perbelanjaan besar pembelian bahan mentah masakan RMT. Justeru kita secara peribadi menyarankan kos skim tersebut untuk seorang murid perlu ditambah lagi kepada RM4 di Semenanjung manakala RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Angka itu walaupun masih lagi rendah namun dianggap wajar dan boleh ditampung pengusaha kantin yang turut terkesan dengan kenaikan harga barangan mentah di pasaran. Pada masa sama, kita meminta masyarakat agar tidak menyalahkan pihak Kementerian Pendidikan kerana peruntukan yang diterima bagi penyediaan RMT sebenarnya amat terhad,” katanya.

Khairy bagaimanapun akan berbincang dengan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin sebelum membawa isu kos skim itu kepada mesyuarat mingguan Kabinet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN