KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kementeriannya juga merancang untuk mengutamakan penggunaan bahan api paling murah untuk penjanaan elektrik yang juga antara pelan mitigasi jangka panjang.
Takiyuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, langkah berkenaan diambil bagi mengatasi segala krisis tenaga global dan kos ICPT yang dijangka meningkat pada masa akan datang.
“Berdasarkan analisis Suruhanjaya Tenaga (ST), harga bahan api di pasaran global masih kekal tinggi berikutan impak peperangan antara Russia dan Ukraine sejak Mac lalu dan permintaan bahan api arang batu yang tinggi daripada negara luar.
“Ketika ini semua sama, M40 pun (menerima rebat) dua sen setiap kilowatt jam (kWj), B40 dua sen dan T20 pun dua sen. Semua menikmati rebat dua sen ini dalam bekalan elektrik negara kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Takiyuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai langkah kementerian untuk melindungi rakyat yang berhadapan dengan krisis tenaga global sehingga menyebabkan peningkatan kos harga bahan api.
Menurut Takiyuddin, kementeriannya turut menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara.
Katanya, ia termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import seperti arang batu secara berperingkat sekali gus kementerian itu menetapkan sasaran 31 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2025 dan 40 peratus pada tahun 2035.
“Bagi menggalakkan amalan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencetak jumlah subsidi yang diberikan kerajaan pada bil elektrik pengguna bermula bulan ini,” katanya.
Mengulas mengenai kos ICPT, Takiyuddin berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, jumlahnya adalah sebanyak RM7 bilion iaitu bersamaan kadar surcaj 11.81 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.
“Bagaimanapun, sebagai langkah mitigasi jangka pendek bagi melindungi rakyat yang berdepan krisis tenaga global, kerajaan pada 24 Jun lalu bersetuju untuk menampung subsidi elektrik berjumlah RM5.8 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022, walaupun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api di pasaran global.
“Ini bermakna, 7.9 juta pengguna domestik kekal menerima rebat 2 sen/kWj dan pengguna bukan domestik kekal dikenakan surcaj 3.70 sen/kWj, berbanding kadar surcaj ICPT sebenar iaitu 11.81 sen/kWj.
“Dalam hal ini, semua pengguna di Semenanjung akan membayar bil elektrik pada kadar yang sama seperti dibayar sepanjang enam bulan pertama tahun ini berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing,” katanya.- UTUSAN










