SUNGAI PETANI: Kertas siasatan berkaitan kes amang seksual dan mendatangkan kecederaan melibatkan seorang pelajar tingkatan satu dan mangsanya, murid tahun empat di Gurun, Isnin lalu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada TPR untuk proses seterusnya.
“Kita masih menanti arahan daripada TPR sama ada kes ini akan dituduh di mahkamah atau sebaliknya.
“Sehingga kini kes tetap diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan sebarang perubahan tertakluk kepada TPR,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia pada 20 Julai lalu melaporkan, seorang pelajar lelaki 13 tahun sanggup mencederakan rakan sepermainannya yang berusia 10 tahun dan mengugut dengan pisau hanya kerana kemahuannya melakukan amang seksual tidak dituruti.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah taman perumahan di Gurun itu, pipi kanan mangsa yang merupakan murid lelaki itu lebam ditampar dan dipukul suspek.
Malah, terdapat kesan luka dan calar di dada, badan serta lutut kanan mangsa dipercayai dicederakan suspek dengan sebilah pisau.
Ketika kejadian, suspek membawa mangsa menaiki kereta Perodua Kancil yang dipandunya ke sebuah kedai lalu mengarahkan mangsa membuka seluarnya untuk menghisap kemaluan tetapi murid lelaki itu enggan menyebabkan dia ditampar dan dipukul.
Suspek kemudian membawa rakannya itu ke rumahnya dan mengarahkan mangsa sekali lagi menghisap kemaluannya tetapi tidak diikuti sebelum suspek berang lalu mencekik leher dan mencederakannya dengan sebilah pisau.
Mangsa yang ketakutan berjaya melarikan diri dan pulang memberitahu bapanya sebelum satu laporan polis dibuat sehingga suspek ditahan di rumahnya pada pukul 7.19 malam hari sama. – UTUSAN