PETALING JAYA : Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil dengan memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sependapat bahawa isu keselamatan makanan kian meruncing akibat pandemik Covid-19.
“Malah kini menjadi semakin kritikal ekoran konflik Rusia-Ukraine,” katanya dalam kenyataan media bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden, Ankara, Turkiye hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri bertemu bersama Presiden Turkiye itu Istana Presiden dalam lawatan rasmi empat hari di atas jemputan Erdogan.
Kedua-dua pemimpin turut mengadakan pertemuan empat mata dan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.
Dalam masa sama, Ismail Sabri berkata, Malaysia dan Tukiye bersetuju bagi memperkukuhkan kerjasama ke tahap perkongsian strategik komprehensif dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, minyak sawit, pendidikan dan pertahanan.
“Pada hari ini saya dan Presiden Turkiye bersetuju supaya kerjasama ditingkatkan ke tahap perkongsian strategik komprehensif memandangkan skop kerjasama telah berkembang meliputi pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan dan keselamatan makanan,” katanya.
Beliau juga mengumumkan berita baik bahawa Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf ijazah daripada 208 universiti di Turkiye.
Menyentuh isu antarabangsa, Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara senada terhadap sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin.
Berkenaan konflik berpanjangan Rusia-Ukraine pula, Ismail Sabri memuji usaha Erdogan untuk mencari jalan perdamaian bagi mengakhiri konflik berkenaan.
“Malaysia dan Turkiye bersetuju agar semua pihak yang terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan sejagat itu,” ujarnya. –UTUSAN
HABIS










