Kerajaan tidak minta rakyat ikat perut

Kerajaan tidak akan minta rakyat ikat perut

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) melakukan gimik penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kerajaan tidak akan meminta rakyat supaya ‘mengikat perut’ seperti yang disarankan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)  dahulu berikutan kenaikan kos barangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya kerajaan berusaha mencari kaedah membantu rakyat mengatasi kenaikan harga barang menerusi pemberian subsidi terhadap barangan kawalan.

Katanya, kerajaan mengambil tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang.

Katanya, antaranya subsidi harga ayam RM700 juta,  RM28 bilion subsidi petrol dan diesel serta RM70 bilion subsidi barangan pengguna.

“Kerajaan tak nak menjawab (isu kenaikan harga barang) dalam surat khabar dengan mengatakan ‘oleh kerana ini merupakan fenomena global, jadi kita serah pada global’. Tidak, kita tak kata macam itu, itu kerajaan dahulu. PH Perdana Menteri zaman itu kata apa? Bila harga naik hendaklah ikat perut.

“Itu dulu, tapi kita tak kata macam itu, kita mencari kaedah untuk memastikan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan barangan seperti ayam.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita beri subsidi untuk pastikan harga ayam tak naik, kerajaan subsidikan harga ayam RM700 juta,” katanya ketika berucap pada penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menarik balik subsidi ke atas barangan tertentu seperti yang didakwa oleh parti pembangkang.

Menurutnya, tuduhan pembangkang semua subsidi ditamatkan pada 1 Julai lalu adalah tidak benar.

“Subsidi apa yang ditamatkan? Subsidi terus kekal, subsidi minyak masak kita belanja RM4 bilion untuk pastikan subsidi itu masih diterima oleh rakyat supaya minyak masak kekal pada harga RM2.50 sen.

“Kalau minyak masak tak disubsidi, harganya RM9.50 sekampit atau sekilogram tapi dengan RM4 bilion yang disubsidi kerajaan, harganya masih kekal RM2.50.

“Mereka (pembangkang) terus berbohong, menolak (seperti)  tiada tuhan bagi mereka, mereka terus memfitnah mengatakan 1 Julai semua subsidi dibatalkan.

“Sedangkan subsidi minyak masak dikekalkan, subsidi gas memasak di rumah dikekalkan, subsidi petrol dan diesel dikekalkan, tiada apa yang ditarik balik,” katanya.

Ismail Sabri berkata, subsidi daripada kerajaan membantu negara mencatat inflasi lebih rendah iaitu 2.8 peratus berbanding negara lain seperti United Kingdom (9.1 peratus), Amerika Syarikat (8.6), Eropah (8.1 peratus), Thailand (7.1 peratus), Singapura (5.6 peratus) dan Indonesia (3.6 peratus).

“Malaysia masih dapat mengekalkan inflasi yang rendah kerana kita memberikan subsidi untuk pastikan harga barang tidak meningkat.

“Kalau dibiarkan, diapungkan, ditentukan oleh pasaran harga barangan ini, inflasi kita mungkin mencecah lapan hingga 11 peratus. 

“Ketika itu mungkin rakyat tak mampu lagi menanggung dari segi kenaikan harga,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN