PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Indonesia berkaitan isu pengambilan pekerja asing dari Indonesia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan melibatkan Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia bermula hari ini bagi menyelesaikan salah faham komunikasi mengenai isu-isu berkaitan.
“Hal ini bagi memerlukan sedikit perubahan dan penelitian berkaitan isu dibangkitkan. Biar kita lakukan perbincangan, dalam masa sehari dua pengumuman rasmi akan dibuat.
“Kita akan memastikan segala pengurusan pekerja asing sentiasa berlandaskan kedaulatan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Ketika ditanya berhubung dakwaan pelanggaran memorandum persefahaman (MoU) kerajaan mengenai pengambilan pembantu rumah Indonesia, Hamzah meminta untuk tidak mendengar daripada satu pihak.
“Betul one system channel tetapi dalam perjanjian itu ada bahawa segala perkara berkaitan (pekerja asing) ada timbul kekhilafan namun tidak perlu melalui media,” jelasnya.
13 Julai lalu, Duta Besar Indonesia Hermono berkata, penggunaan berterusan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah Indonesia melanggar MoU.
Katanya, MOS memintas sistem saluran tunggal yang diperkenalkan dalam MoU itu.
Indonesia kemudiannya membekukan sementara kemasukan pekerjanya ke Malaysia.
Difahamkan, antara salah satu sebab keputusan itu dibuat adalah penggunaan SMO yang sepatutnya tidak terpakai kepada pembantu rumah Indonesia berikutan MoU yang ditandatangani pada April.
Pada 1 April, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah menandatangani MOU di Jakarta mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Rumah Tangga Indonesia.- UTUSAN










