PETALING JAYA: Kerajaan sedang membangunkan sistem menyimpan data unit rumah yang tidak terjual bagi membantu memudahkan rakyat mencari rumah yang sesuai dengan kemampuan kewangan mereka.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk K.N. Jayaselan berkata, ia juga membolehkan negara mempunyai data yang lengkap, jelas dan tepat berhubung unit rumah yang tidak terjual.
Katanya, ini kerana data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) ketika ini cuma gambaran kasar yang meliputi jumlah dan nilai pasaran hartanah yang tidak terjual itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, sistem yang sedang dibangunkan itu melibatkan tiga agensi utama yang terdiri daripada NAPIC, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).
Katanya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dilibatkan.
“Sekarang ni data longgok sahaja tetapi dengan adanya sistem ni kita boleh dapat data masa sebenar (real time) dan boleh pantau harga (nilai), jumlah yang dijual, berapa sebenarnya tak dijual, jangka hayat projek, lokasi dan buat pengasingan ciri (kuota) hartanah itu.
“Jadi, individu yang tak mampu nak beli harga rumah sekarang tetapi mungkin boleh beli rumah yang tak terjual apabila mungkin pemaju buat diskaun atau jual pada harga kos, cuma tak tahu di mana nak cari rumah-rumah yang tak terjual itu.
“Maka rakyat boleh tengok rumah itu secara menyeluruh sama ada sesuai, mampu atau sebaliknya dengan sistem yang akan kita bangunkan nanti.
“Sistem itu sudah siap separuh dengan data sudah mula masuk daripada Januari, tetapi kita perlu tiga tahun untuk data itu jadi konkrit dan betul-betul lengkap. Kita jangka (sistem itu akan siap) pada awal 2025, jadi yakin kita boleh bagi satu pandangan yang lebih tepat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 59,642 unit rumah bernilai kira-kira RM42.9 bilion di seluruh negara yang sudah pun siap dibina masih lagi tidak terjual dalam suku pertama 2022.
Kesemua unit rumah tersebut dikenali sebagai overhang unit iaitu merujuk kepada unit perumahan yang telah menerima Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) tetapi tidak terjual lebih sembilan bulan selepas dilancarkan.
Menurut Jayaselan, selain membantu pemilikan rumah, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan besar sistem yang bakal dibangunkan itu dapat mengurangkan unit rumah yang tidak terjual.
Katanya, ini kerana pemaju boleh menilai semula lokasi pembinaan dan mencari kawasan yang lebih sesuai sebelum membina kawasan perumahan.
“Kedua, ia juga dapat membantu kerajaan negeri beri bantuan khas atau buat pengecualian kepada tempoh pegangan (apabila sudah tahu berapa lama unit itu tidak terjual).
“Selain itu, dapat membantu Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri membuat dasar bersasar (untuk lihat) di mana kita mahu buat projek dan di mana tak mahu buat projek dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau menambah, negara juga perlu mempunyai satu angka dalam menentukan sama ada unit rumah yang tidak terjual di negara ini membimbangkan atau sebaliknya kepada industri perumahan.
“Sebagai contoh, jika ada beribu rumah yang tak terjual, adakah industri perumahan kita patut patut bimbang atau tidak dengan situasi itu. Mesti ada nilai yang tepat supaya kerajaan boleh teliti dalam keadaan yang bagaimana industri perumahan patut dibantu,” jelasnya. – UTUSAN










