Kelantan tak akan berdepan krisis makanan - Utusan Malaysia

Kelantan tak akan berdepan krisis makanan

TUAN Mohd. Saripudin Tuan Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan  tidak akan berdepan krisis makanan kerana pengeluaran bahan makanan di negeri ini melebihi tahap sara diri penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, berdasarkan data Status Kadar Sara Diri (SSL) 2020 menunjukkan Kelantan berada di landasan tepat dalam menjayakan misi sebagai Jelapang Makanan Negara.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan negeri tetap menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi menjamin sekuriti bekalan makanan di negeri ini terus berada pada tahap terbaik.

“Berdasarkan status SSL 2020 bagi sumber makanan di negeri ini adalah beras (208 peratus), kelapa (196 peratus), daging kambing, bebiri (190 peratus), buah (117 peratus), sayur (98 peratus) dan ikan (93 peratus).

“Kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Kelantan yang dipengerusikan  Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Nazran Mohamad,” kata beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas Rohani Ibrahim (PAS) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Tuan Mohd. Saripudin berkata, antara langkah dilakukan kerajaan negeri termasuk menyediakan peruntukan khas RM10 juta melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan.

Katanya, peruntukan tersebut adalah bagi pelaksanaan projek ternakan ayam pedaging tertutup semi automatik dan penternakan lembu secara integrasi di ladang sawit.

“Selain itu, kita juga menyediakan kawasan jelapang padi baharu melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi membangunkan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) 100 hektar di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas.

“Kerajaan negeri juga mempergiat kempen penglibatan masyarakat dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan seperti Program Dapur Hijau, Kempen Seed Community-Kempen Penghasilan dan Penyimpanan benih tanaman,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya