Kekurangan bekalan ubat-ubatan ‘rakyat’ sehingga akhir 2022

Kekurangan bekalan ubat-ubatan ‘rakyat’ sehingga akhir 2022

ubat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekurangan be­kalanubat-ubatan rakyat’ se­perti untuk demam, ubat batuk, ubat alahan dan tahan sakit di pasaran dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini berikutan permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat negara ini.

Masalah kekurangan bekalan itu berlaku disebabkan ma­sya­rakat ketika ini berdepan gelombang atau masalah kesihatan yang bertimpa-timpa bermula dengan Covid-19, gejala penya­kit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dan terkini Influenza-Like-Illness (ILI).

Situasi berkenaan sekali gus menyebabkan permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan pihak pembekal juga buat masa ini tidak dapat menampung keperluan sehingga menyebabkan kekurangan ubat-ubatan tersebut di pasaran di seluruh negara.

AMRAHI BUANG

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan seperti demam, ubat batuk dan alahan sebenarnya telah berlarutan sejak Oktober tahun lalu.

“Untuk isu kekurangan ubat-ubatan di pasaran, kita telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan dua minggu lalu yang turut disertai pelbagai pihak seperti pengilang, pembekal, bahagian farmasi, doktor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan.

“Dalam mesyuarat itu, kami dimaklumkan masalah bekalan akan selesai dalam masa dua bulan. Tetapi saya tidak yakin dan menjangkakan masalah ini akan berterusan sehingga akhir tahun ini kerana gelombang penyakit yang berterusan.

“Keadaan lebih sukar kerana selepas Covid-19, kita berhadapan dengan HFMD dan selepas itu ILI pula. Hal ini menyebabkan berlakunya permintaan yang tinggi dan luar biasa sehingga menyebabkan bekalan ubat-ubatan di pasaran terputus,” katanya.

Beliau mengulas isu kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal yang dikatakan melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selesema dan batuk, sakit tekak dan ubat tahan sakit.

Mengulas lanjut, Amrahi ber­kata, perlu ada pendekatan yang bersepadu untuk menyelesaikan isu kekurangan ubat-ubatan di pasaran kerana apa yang berlaku di Malaysia ketika ini adalah luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Apabila kita bercakap tentang selesema, memang ia berlaku setiap tahun cuma, kali ini lebih teruk. Di Malaysia kita dilihat kurang serius untuk memberikan vaksin kepada golongan dewasa kecuali vaksin Covid-19. Perkara ini perlu dibuat dahulu lagi,” katanya.

Bulan lalu, akhbar ini melaporkan, lebih 8,000 klinik swasta dan farmasi dikhuatiri terputus bekalan ubat-ubatan asas termasuk untuk rawatan HFMD ekoran permintaan tinggi dan kekurangan bahan asas pembuatannya.

Difahamkan kekurangan itu dipengaruhi permintaan tinggi dan pada masa sama pengilang menghadapi kekurangan bahan asas pembuatan ekoran sekatan pergerakan di Shanghai, China disebabkan Covid-19.

Presi­den Persatuan Pengamal Perubatan Premier Malaysia (MPCAM), Dr. Raj Kumar Maharajah berkata, ketika itu, ubat selesema langsung tiada bekalan.

Ekoran itu, Kementerian Kesihatan mencari strategi bagi penyelesaian jangka masa sederhana dan panjang berhubung isu kekurangan bekalan ubat termasuk meneroka sumber baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha kementerian untuk melihat kepada isu gangguan bekalan ubatan itu terutama di klinik swasta dan farmasi pada masa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN