KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan bekas calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat, Sabah, yang dituduh atas kesalahan membuat komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan ikat jamin RM14,000.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam, Rajsurian Pillai berkata, Jufazli Shi Ahmad selaku orang kena saman (OKS) telah keluar daripada lokap pukul empat petang tadi setelah penjamin yang juga adiknya menyelesaikan bayaran berkenaan.
Rajsurian berkata, penjamin menyelesaikan bayaran dengan terpaksa menggadai barang kemas selain wang tambahan daripada ahli keluarga setelah nilai gadaian tidak mencapai kadar ikat jamin ditetapkan.
“Jurubahasa mahkamah sahkan Jufazli sudah diikat jamin dan keluar petang tadi. Pagi tadi, adik dia pergi pajak gadai emas. Selepas itu, bakinya penjamin minta dengan ahli keluarga lain.
“Lewat petang semalam pegawai-pegawai penyiasat daripada Bukit Aman maklum Jufazli dituduh hari ini. Jadi, saya suruh ahli keluarganya sediakan antara RM10,000 hingga RM15,000 duit jaminan.
“Buat masa ini, pihak pembelaan menunggu dokumen daripada pihak pendakwa raya dahulu dan akan memikirkan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pagi tadi, Jufazli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan termasuk membuat komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO menggunakan aplikasi Tiktok dan Youtube.
Mengikut dua pertuduhan pertama, bekas ahli DAP itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik, telah memuat naik dua video dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan Tik Tok atas nama ‘King Maker’ dan YouTube ‘King Maker Politik’ pada 23 dan 27 Jun lalu, pukul 3 petang.
Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Bagi dua pertuduhan lain, dia didakwa gagal memberi capaian kepada data berkomputer yang disimpan dalam telefon bimbit iaitu gagal memberi kata laluan kepada laman profil Tik Tok atas nama ‘King Maker’ dan YouTube ‘King Maker Politik’ yang diminta oleh pihak polis.
Pada 2019, Jufazli pernah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung ‘serangannya’ terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menuduh melakukan pelbagai jenayah termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pemuda berasal dari Semporna itu pernah menyiarkan videonya secara langsung di Facebooknya menunjukkan empat anggota polis cuba menahannya pukul empat pagi di Cheras. – UTUSAN










