PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR memuktamadkan keputusan akhir Pemilihan 2022 selepas menjalankan audit forensik terhadap bantahan dan aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti itu.
Perkara itu dimaklumkan melalui satu pekeliling yang dikongsikan bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Menurut pekeliling itu, Pengerusi JPP, Dr. Zaliha Mustafa berkata, keputusan akhir parti itu akan diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Agung untuk tindakan selanjutnya bagi persediaan Kongres Nasional 2022 yang akan berlangsung pada 15, 16 dan 17 Julai ini.
Katanya, keputusan akhir Pemilihan Keadilan 2022 boleh dilayari di laman web https:llpemilihankeadilan2022.com.
“Sila ambil maklum bahawa segala urusan dan perjalanan PP adalah menurut Peraturan Pemilihan dan Tatacara Pemilihan Parti pindaan 21 Februari 2022,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha mengesahkan terdapat cubaan menggodam dalam prosesnya untuk menjejaskan integriti keputusan pemilihan parti.
“Setelah menerima laporan audit dari Pakar Digital, Jawatankuasa Pemilihan Pusat telah meneliti laporan tersebut dan menerimanya berdasarkan kepada bukti berasas menerusi analisa digital.
“Pakar Digital telah mengakstrak maklumat undian dari setiap satu tablet yang telah digunakan dalam Pemilihan Keadilan 2022 dan telah membuat suatu proses pengauditan yang menyeluruh dan terperinci terhadap maklumat yang diperolehi.
“Dapatan Audit mendedahkan terdapat percubaan-percubaan untuk menggodam keputusan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Namun perkara-perkara tersebut telah dikenal pasti dan pakar audit telah pun memberi cadangan untuk mengemaskini rekod pengundian. Proses pemutihan telahpun dilaksanakan berdasarkan keputusan analisa digital tersebut,” katanya. –UTUSAN