KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memberi emolumen, kenaikan pangkat dan taraf perjawatan di Parlimen.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Syafiq Abdullah berkata, cadangan menambah baik perjawatan di Parlimen sebagai usaha mengembalikan semula status serta kepentingan perkhidmatan Parlimen dalam susunan agihan kuasa dan fungsinya di bawah Perlembagaan.
“Jawatankuasa bersetuju bahawa perkara jawatan utama diselaraskan dengan status Parlimen sebagai badan legislatif tertinggi negara.
“Justeru, jawatan-jawatan ini tidak harus diisi hanya berasaskan lunas bidang tugas biasa,” katanya dalam satu kenyataan dari Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (TIA), Dewan Negara.
Mesyuarat yang diadakan kali ketiga itu dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Dr. Rais Yatim. – UTUSAN