Johor terima hampir RM1 bilion naik taraf jalan

Johor terima hampir RM1 bilion naik taraf jalan

ONN Hafiz Ghazi mengiringi Fadillah Yusof dalam Majlis Makan Malam Karnival Sukan JKR (SURYA) Se-Malaysia 2022 di Sunway Bigbox, Johor malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor menerima peruntukan sebanyak RM930.4 juta untuk melaksanakan pelbagai kerja-kerja penambahbaikan terhadap beberapa jalan raya utama negeri ini, bermula tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara laluan yang akan ditambah baik ialah Lebuhraya Pasir Gudang melibatkan laluan Fasa 2B dari persimpangan Bandar Seri Alam, Taman Rinting-Pasir Gudang dengan kos RM155 juta.

Menurutnya, kerja naik taraf laluan itu melibatkan penambahan lorong daripada empat menjadi enam lorong.

“Antara laluan lain ialah menaik taraf persimpangan Senai Desaru Expressway (SDE)-Bandar Penawar ‘Directional Ramp’ yang sedang dibina dengan kos RM129.2 juta dan Jalan Muar-Tangkak-Segamat, iaitu jalan pintas dari Kolej Matrikulasi di Kawasan Perindustrian Tangkak dengan kos RM269 juta.

“Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang (FT050) melibatkan pembinaan median, pusingan U dan kerja berkaitan sedang dibuat dari Parit Sempadan, Batu Pahat (Seksyen 21)-Jambatan Merentasi Lebuhraya Utara-Selatan (Seksyen 34.5), dengan kos RM250 juta, jambatan Kota Tinggi bypass (di laluan FT003) sedang dinaik taraf dengan kos RM126.4 juta serta kerja pembaikan dan naik taraf jalan raya di hadapan Hospital Sultanah Aminah dengan kos RM800,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Karnival Sukan JKR (SURYA) Se-Malaysia 2022 di Sunway Bigbox, di sini malam tadi. Turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Onn Hafiz berkata, kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan RM126.23 juta bagi menyelenggara jalan Persekutuan di negeri ini pada tahun ini.

“Johor kini menjadi perintis kepada perjanjian konsesi berasaskan prestasi ataupun ‘Performance Based Contract’ dengan tempoh perjanjian bermula Jun 2022 hingga Februari 2026 bernilai RM601 juta. 

“Pendekatan holistik ini akan mengukur lebih tepat indeks prestasi utama (KPI) perkhidmatan oleh syarikat dilantik, sekali gus memastikan jalan raya lebih berkualiti pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN