Johor mahu bina lebih banyak stesen EV, fokus kawasan pelancongan - Utusan Malaysia

Johor mahu bina lebih banyak stesen EV, fokus kawasan pelancongan

K. RAVEN Kumar (tengah) menghadiri majlis menandatangani perjanjian antara EduCity Iskandar Malaysia dan Skye Renewables Malaysia di Hab EduCity, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor merancang membina lebih banyak stesen pengecas kende­raan elektrik (EV) dalam tempoh beberapa tahun lagi, khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, inisiatif berkenaan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Bagi merealisasikan perkara tersebut, pihaknya telah bekerjasama dengan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk menjalankan kajian dalam tempoh 18 bulan.

“Pada masa ini, jumlah stesen EV di Johor masih kecil. Jadi, kita bercadang untuk menambah bilangan stesen yang menawarkan perkhidmatan tersebut, khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi tarikan pelancong.

“Langkah ini juga selari dengan keputusan kerajaan Singapura yang sedang beralih menuju penggunaan kenderaan elektrik menjelang 2040. Jadi, adalah lebih baik untuk kita membuat persediaan awal. Ini kerana jika tiada persediaan, kita akan kerugian kerana kemudahan itu secara tidak langsung turut menyumbang kepada pendapatan dalam sektor pelancongan di negeri ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara EduCity Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. dan Skye Renewables Malaysia Sdn. Bhd. di Hab EduCity di sini hari ini.

Educity Iskandar Malaysia diwakili Pengarah Urusan, Wan Ahmad Saifuddin manakala Skye  Renewables Malaysia oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ross Coull.

Raven Kumar berkata, usaha tersebut bagaimanapun turut memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak termasuk swasta, khususnya pemain industri yang berkepentingan.

“Untuk menjayakan perkara ini, kita tidak boleh hanya berharap kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya pemain industri dan pelbagai sektor lain boleh turut melibatkan diri. Jika sesuatu lokasi tumpuan pelancongan menyediakan kemudahan stesen pengecas EV, itu pasti akan menjadi nilai tambah dalam menarik kehadiran pengunjung ke lokasi berkenaan,” jelasnya.

Raven Kumar memberitahu, kerajaan negeri berjaya menanam lebih 400,000 pokok dalam usaha menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menerusi kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.