JKM jaga kanak-kanak 4 tahun didera ibu angkat - Utusan Malaysia

JKM jaga kanak-kanak 4 tahun didera ibu angkat

RINA Mohd. Harun menyampaikan sijil penghargaan ketika merasmikan Program Jerayawara dan Karnival Bangkit Wanita KPWKM Zon Utara di Aman Central, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang disyaki didera ibu angkatnya akan ditempatkan di lokasi selamat sejurus selesai menerima rawatan di hospital.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kanak-kanak itu akan ditempatkan di pusat jagaan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kes perbicaraan tamat.

“JKM telah hadir ke hospital bersama pelindung kanak-kanak untuk meneruskan siasatan selain memastikan dia dijaga dengan lebih baik.

“Apa yang penting sekarang kita mahu pastikan kanak-kanak itu terus berada dalam keadaan sihat selepas dibenarkan keluar hospital nanti,” katanya selepas merasmikan Program Jerayawara dan Karnival Bangkit Wanita KPWKM Zon Utara di Aman Central, hari ini.

Rina mengulas kes penderaan membabitkan kanak-kanak terbabit yang dipercayai dipukul menggunakan penyangkut baju dan kayu penyapu selain dicucuh dengan pemetik api.

Tindakan kejam pasangan suami isteri yang mencederakan anak angkat mereka hanya kerana enggan makan nasi itu terbongkar apabila video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita memukul mangsa tular.

Dalam pada itu, Rina menghargai tindakan individu yang melaporkan kejadian berkenaan dan berharap masyarakat lebih prihatin serta cakna dengan kes-kes penderaan yang mungkin berlaku di sekeliling mereka.

“Sekiranya ada yang mengetahui kes-kes penderaan ini, perkara pertama yang mereka boleh lakukan adalah buat laporan polis atau menghubungi Talian Kasih 15999. Mereka juga boleh terus pergi ke mana-mana Pejabat JKM yang terdekat untuk melaporkan kejadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN