PETALING JAYA: Perintah reman lima suspek berhubung kejadian kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu disambung selama sehari.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk D.S Sasikala berkata, reman kesemua suspek yang tamat hari ini dilanjutkan bagi membantu siasatan.
“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

“Reman yang sepatutnya tamat hari ini disambung sehari sehingga esok,” katanya ringkas di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Polis Selangor sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA.
Arjunaidi dilaporkan berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Bukit Aman sekiranya terdapat keperluan untuk melanjutkan perintah reman yang akan tamat esok.
“Siasatan dilakukan di beberapa kontinjen termasuk Selangor. Jika ada arahan untuk sambung reman atau serahkan suspek pada kontinjen lain, kita akan buat.
“Buat masa ini, kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan mengumpul bukti berkaitan,” ujarnya.
Terdahulu melaporkan pemilik sebuah agensi pelancongan dan empat lagi individu ditahan reman tiga hari hingga 12 Julai ini.
Kesemua mereka terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan Sabtu lalu di beberapa lokasi sekitar ibu negara kira-kira pukul 9 malam.
Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota. – UTUSAN










