KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi (PSC) Parlimen tidak bersetuju dengan cadangan hukuman penjara bagi remaja (juvana) yang didapati melakukan kesalahan melibatkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Ia berhubung cadangan kerajaan memperuntukkan hukuman terhadap generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya yang didapati menjual atau mempamerkan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
Pengerusinya, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, kesalahan yang dilakukan oleh golongan itu juga disyorkan tidak direkod dalam mana-mana sistem atau rekod jenayah sedia ada.
“Jawatankuasa mengesyorkan alternatif penalti lain seperti khidmat masyarakat, sesi kaunseling mandatori dan kompaun yang munasabah untuk pelaku kali pertama dengan garis panduan jelas.
“Kami juga prihatin terhadap isu penguatkuasaan dalam rang undang-undang ini terutamanya melibatkan juvana dan kanak-kanak. Kuasa badan-badan untuk memeriksa dan menghukum kanak-kanak kerana memiliki mesti dikawal dengan ketat bagi mengelakkan salah guna kuasa.
“Sebab itu garis panduan penguatkuasaan mestilah jelas bagi memastikan golongan ini tidak menjadi mangsa undang-undang terutama golongan rentan,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.
Kerajaan antara lain bercadang mendenda generasi lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya yang didapati menjual atau mempamerkan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau sehingga RM5,000.
Pesalah individu pula boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, manakala pesalah berulang berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM30,000, atau kedua-duanya sekali.
Ia menerusi RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang akan dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat dijangka minggu depan. – UTUSAN










