Jangan ikut watak Raja Mendaliar, Si Kitul – Anwar - Utusan Malaysia

Jangan ikut watak Raja Mendaliar, Si Kitul – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih wujud watak Raja Mendaliar dan Si Kitul dalam PKR yang sanggup mengkhianati parti setelah dikaburi dengan tawaran pangkat dan harta benda.

Justeru, Presiden PKR itu memberi peringatan kepada semua pimpinan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku dengan tidak terikut-ikut sikap bekas pemimpin berkenaan.

Sebaliknya, beliau menyeru semua pimpinan parti terus mengukuhkan kekuatan, kesabaran dan kasih sayang bagi meneruskan perjuangan PKR.

“Kita lontarkan ini kerana memang betul wujud Raja Mendaliar dan Si Kitul dalam parti. Itulah yang kemudian memungkinkan pengkhianatan. Ini satu pengajaran kepada kita, jangan terhakis idealisme, terpukau dengan kilauan kuasa dan harta.

“Ada orang yang dahulunya reformis bersama kita, tetapi apabila diberikan sedikit ujian dan sedikit kuasa dan harta, kilauan itu mengaburi mata mereka. Terhakisnya idealisme dan berlakulah keputusan politik berdasarkan janji mereka,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional Ke-16 PKR di sini semalam.

Susulan itu, Ketua Pembangkang tersebut mengharapkan kepimpinan baharu daripada Timbalan Presiden hingga ke akar umbi di cabang dan ranting terus memperkukuhkan saf parti dan menghapuskan sikap yang membawa kepada perpecahan.

Si Kitul

Terdahulu, ucapan Anwar yang menyebut watak Si Ki­tul dan Raja Mendaliar itu dilihat merujuk kepada tindakan 13 ahli Parlimen parti itu yang meninggalkan PKR dengan sebahagiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka yang meninggalkan PKR ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Datuk Zuraida Kamarudin (Ampang) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).

Baru Bian (Selangau); Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat); Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Segamat); Ali Biju (Seratok); Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Pada Februari lalu, dua lagi ahli Parlimen iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau).
Dalam ucapan tersebut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau pernah berpeluang dilantik menjadi Perdana Menteri pada September 2020 jika bersetuju dengan permintaan pemimpin korup untuk campur tangan dalam kes mahkamah mereka.

Bagaimanapun, kata Anwar, beliau terpaksa melupakan hasratnya setelah mendakwa diminta memberi jaminan kepada beberapa tokoh penting dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk menutup kes mereka.

“Saya jawab tak mungkin. Saya jawab terima kasih, dan kita hadapi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.

Anwar mengekalkan jawatan presiden PKR bagi penggal 2022-2025 selepas menjadi satu-satunya individu yang dicalonkan untuk jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan kali ini.

Beliau juga memenangi ja­watan Presiden tanpa bertan­ding pada 2018 selepas dibebaskan daripada penjara dan mengambil alih jawatan itu daripada isteri yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN