Jangan ada tangan-tangan politik di sebalik RoS - Utusan Malaysia

Jangan ada tangan-tangan politik di sebalik RoS

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) diminta segera memberi keputusan mengenai pindaan perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, pihaknya yakin RoS sudah ada keputusan mengenainya dan tidak perlu ditangguh terlalu lama.

Katanya, keputusan tersebut penting agar RoS tidak dilihat menerima gangguan atau tangan-tangan politik di sebalik perkara tersebut.

“Kita tidak mahu RoS ini dilihat ada gangguan-gangguan politik atau tangan-tangan politik di sebaliknya. Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku dan RoS patut berdiri sendiri dengan bertindak atas kapasitinya tanpa terikat dan dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

RoS sebelum ini memaklumkan, keputusan mengenai pindaan perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan dan tarikh akhir keputusan itu adalah pada 16 Julai lalu, bagaimanapun selepas lebih seminggu belum ada sebarang keputusan.

Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, RoS tidak mempunyai alasan menolak permohonan UMNO berhubung pindaan perlembagaan parti itu.

Hal demikian kerana kata Mohamad, parti itu telah memenuhi segala kehendak dan peraturan RoS bagi membolehkan pindaan perlembagaan tersebut diluluskan.

Fathul Bari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri turut memberi sokongan agar pemilihan ditangguhkan enam bulan selepas PRU sebagaimana disepakati dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu, sekiranya RoS tidak meluluskan pindaan tersebut, maka pemilihan parti terpaksa diadakan.

“Dalam soal pemilihan sudah pastinya ada pro dan kontra. Dari segi (pro) mungkin rakyat hendak lihat UMNO reform melalui pemilihan tersebut. Dari segi kontra, mungkin boleh menyebabkan perbalahan dan krisis politik di dalam UMNO.

“Apa yang penting titik kebersamaan dalam UMNO itu sendiri supaya tidak ada kecelaruan seterusnya kita lalui pilihan raya dalam suasana tenang dan bersepadu sebagaimana telah diusahakan oleh Presiden parti dan Perdana Menteri sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya