Jambatan sementara siap legakan penduduk

Jambatan sementara siap legakan penduduk

PENDUDUK berkenderaan melintasi Sungai Kupang menggunakan jambatan sementara yang siap dipasang di Kampung Iboi, Kupang, Baling, Kedah. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penduduk Kampung Iboi di Kupang, di sini lega apabila jambatan sementara yang menjadi laluan utama mereka berulang-alik menyeberangi Sungai Kupang, siap dibina setelah fasiliti asal itu musnah dihanyutkan banjir lumpur.

Malah, jambatan jenis keluli bermodular Old Bailey Bridge itu secara tidak langsung memudahkan penduduk yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk pulang melihat keadaan rumah mereka yang terjejas.

Seorang penduduk, Mohamad Noor Abdul Rahman, 63, berkata, jambatan itu juga membolehkan mereka pergi ke masjid yang terletak di seberang sungai untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

“Alhamdulillah, jambatan yang sudah siap ini walaupun untuk sementara memudahkan kami berulang-alik ke sana sama ada dengan menaiki motosikal atau kereta. Hendak ke masjid pun mudah,” katanya ketika ditemui.

Jambatan itu siap pada pukul 4.30 pagi semalam bagi menggantikan jambatan konkrit asal yang runtuh dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air pada petang Isnin lalu.

Jambatan bailey sepanjang 27.43 meter dan lebar sehingga 5.49 meter itu mampu menampung ketahanan kenderaan sehingga berat lima tan bagi satu hala.

Seramai 20 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dibantu 10 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) ditugaskan untuk menyiapkan jambatan itu yang berada di lokasi berkenaan sehingga pembinaan jambatan baharu selesai dibuat kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN