Isu tuntutan waris Sultan Sulu: Malaysia kena bertindak

Aset Petronas dirampas waris Sultan Sulu: Malaysia kena bertindak

sulu
KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal kehilangan lebih banyak aset dan kepentingan strategik di luar negara jika tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol yang mengarahkan kerajaan membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Kesultanan Sulu.

Ini kerana sebelum ini Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak mendakwa waris kepada Sultan Jamalul Kiram II melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid dan tidak mengambil bahagian dengan memberi alasan sentiasa menegakkan serta tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatan sebagai sebuah negara berdaulat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, kerajaan perlu memulakan langkah dan tindakan segera bagi mengetepikan keputusan itu kerana dibimbangi pihak terlibat mencari jalan menyita aset-asetnya di negara lain.

Katanya, Malaysia berhak berbuat demikian kerana keputusan timbang tara itu bertentangan undang-undang antarabangsa apabila tuntutan berkenaan bukannya membabitkan soal komersial dan bersifat mengganggu gugat kedaulatan negara.

Kedaulatan

“Berdasarkan undang-undang antarabangsa, proses timbang tara boleh dilakukan jika membabitkan soal pelaburan dan bukannya menjejaskan kedaulatan negara, namun dalam soal ini adalah sebaliknya.

“Bukan sahaja bertentangan dengan konteks undang-undang, malah dalam sudut sejarah dan kedaulatan, waris Sultan Sulu tidak berhak membuat tuntutan menerusi proses timbang tara. Ini jelas selepas tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi Sandakan pada tahun 1939 diputuskan oleh  mahkamah menunjukkan mereka telah menyerahkan pertikaian Surat Ikatan Pemberhentian kepada bidang kuasa Mahkamah di Malaysia.

“Secara kesimpulannya, kita ada asas untuk membantah keputusan timbang tara itu. Langkah pertama perlu dilakukan Kerajaan Malaysia adalah mengetepikan keputusan timbang tara antarabangsa di Madrid meskipun tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak mendakwa kerana bimbang waris Sultan Sulu akan mencari jalan terhadap kepentingan aset di negara lain pula,” katanya.

Kelmarin, waris Kesultanan Sulu yang sebelum ini menuntut sebanyak AS$14.92 (RM62.59 bilion) dari Malaysia dilaporkan merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg.

Merampas

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Mengulas lanjut, Noorfajri berkata, tindakan rampasan dan penyitaan (saisie-arrett) aset milik Malaysia boleh berlaku sekiranya mahkamah di negara berkenaan membenarkan proses penguatkuasaan award tersebut dengan mengiktiraf keputusan prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid.

Jelas beliau, situasi sama yang berlaku iaitu membabitkan dua aset anak syarikat Petronas yang berhadapan tindakan sitaan oleh peguam mewakili waris Sultan Sulu.

“Namun mengapa timbang tara di Madrid boleh membenarkan keputusan waris Sultan Sulu sedangkan Malaysia tidak pernah bersetuju menyertai proses timbang tara berkenaan dan tidak mengiktiraf tuntutan oleh pihak berkenaan.

“Seperti saya sebut tadi, Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera sebab kita ada asas yang kukuh untuk membantah (melalui prosedur mengenepikan atau membatalkan award timbang tara tersebut) dan tidak boleh berdiam diri kerana situasi sama membabitkan dua aset Petronas boleh berulang membabitkan kepentingan strategik Malaysia di negara lain,” katanya.

Azerbaijan

Dalam pada itu, peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu berkata, tindakan dikemukakan waris Sultan Sulu sudah tidak relevan kerana Petronas telah melupuskan kesemua aset di Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan berkenaan telahpun dipulangkan dengan sewajarnya.

Namun kata beliau, kerajaan tidak boleh memandang remeh soal itu meskipun tuntutan berkenaan kini sekadar atas kertas.

“Kerajaan kena agresif dalam soal ini, mungkin waris Sultan Sulu mencari langkah lain untuk menyita kepentingan aset Malaysia di negara lain pula. Ini boleh diibaratkan langkah awal mereka untuk membuat tuntutan tersebut.

“Jabatan Peguam Negara kena wujudkan satu pasukan petugas khas terhadap isu ini yang membabitkan para perundangan tempatan khususnya pakar timbang tara. Kita ada banyak cuma tidak melibatkan mereka dalam soal kepentingan tanah air,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×