SHAH ALAM: Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak terlepas daripada dipergunakan scammer untuk menipu mangsa-mangsa menerusi aplikasi Telegram.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, beliau mengetahui perkara itu apabila dihubungi beberapa individu dan kenalan berhubung perkara tersebut.
“Saya akan buat laporan polis berhubung perkara ini. Harap orang ramai tidak terpedaya dengan individu atau pihak yang guna nombor (identiti) saya dalam Telegram itu untuk minta pinjam duit,” katanya.
Terdahulu, wartawan Utusan Malaysia turut menjadi salah seorang individu dihubungi ‘Menteri Undang-Undang’ yang ingin meminjam duit RM3,000 sebelum meminta duit itu dimasukkan ke dalam akaun atas nama orang lain.
Scammer memberitahu akan membayar semula duit tersebut pada hari sama, kerana mahu menggunakannya untuk urusan mendesak.
“Nanti masukkan duit ke akaun bank Public Bank atas nama Husin bin Abidin dan tulis sebab pemindahan wang atas sebab Wan Junaidi.
“Nanti sudah bank-in duit, hantar salinan resit supaya saya ambil maklum yang awak sudah masukkan duit dalam akaun saya,” kata scammer itu.- UTUSAN










