PETALING JAYA: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyarankan kerajaan menjadikan kes penipuan bakal jemaah haji oleh agensi pelancongan sebagai satu jenayah berat dengan hukuman penjara.
Presidennya, Datuk Dr. Mohd. Khalid Harun berkata, langkah itu bagi memastikan supaya kes penipuan yang sering berlaku itu dapat dibanteras.
Namun, katanya, bagi mengelakkan ditipu, bakal jemaah haji yang berurusan dengan agensi pelancongan boleh menghubungi MATA sekiranya mempunyai keraguan.
“Tentukan ada visa haji. Mohon penjelasan bukti sebelum memberi sebarang dokumen seperti pasport dan jangan bayar sebelum ada jaminan penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Khalid turut mengingatkan agensi pelancongan supaya tidak memperdagangkan visa haji yang dianugerahkan kepada mereka sesuka hati dan mengenakan caj perkhidmatan yang berpatutan.
“Pastikan agensi pelancongan sudah menerima tawaran (visa haji) yang diamanahkan, baru mengundang jemaah haji,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA sejak 5 Julai lalu selepas gagal mendapat visa untuk berlepas ke Arab Saudi.
Mereka dipercayai menggunakan visa furada iaitu visa dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).
Bagaimanapun, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, kedutaan itu tiada kaitan dengan masalah 380 bakal jemaah haji terkandas itu. – UTUSAN










