KOTA BHARU: Kerajaan akan menggunakan peruntukan segala undang-undang sedia ada dalam membendung penghinaan terhadap agama Islam di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, peruntukan undang-undang yang sedia ada ketika ini sudah cukup untuk menghukum pelaku.
“Kerajaan berpandangan tiada keperluan keperluan untuk meminda undang-undang baharu, sebaliknya yang sedia ada sudah mencukupi.
“Kita (kerajaan) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang mencetus provokasi menghina agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Free Open Market anjuran Yayasan Islam Dakwah Malaysia (Yadim) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Sebelum itu, Ahmad Marzuk turut menyampaikan kepada 500 penerima makanan tersebut di bawah Parlimen Pengkalan Chepa.
Ahmad Marzuk memberitahu, individu yang menghina Islam atau mempersendakannya boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan dan kesesuaian undang-undang sama di mahkamah sivil atau mahkamah syariah.
Katanya, sudah ada dalam kalangan pelaku sudah didakwa dan akan dijatuhkan hukuman dalam masa terdekat ini. – UTUSAN









