KUALA SELANGOR: Selain sumbangan dana awam dan wakaf, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengalu-alukan pelaburan daripada organisasi swasta untuk menjadi rakan kongsi bagi pembinaan Kompleks Arshad Ayub di Seksyen 3, Shah Alam.
Pembinaan kompleks tersebut memerlukan perbelanjaan sehingga RM140 juta yang akan menempatkan Pusat Pengajian Perniagaan Siswazah Arshad Ayub (AAGBS), kompleks komersial dan kolej kediaman di atas tapak Kolej Jati.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, UiTM kini menerima beberapa tawaran daripada pelbagai pihak yang berhasrat melabur dalam pembinaan kompleks berkenaan dan berharap persetujuan dapat dicapai secepat mungkin bagi menyegerakan pembinaannya.
“Kita cuma berharap pembinaan dapat dibuat secepat mungkin, kita tidak mengharap sangat kepada sumbangan semata-mata sebab tahu itu akan ambil masa. Kita juga berusaha mempercepat pembinaan dengan menerima pelaburan dari pihak luar atau menjadi rakan kongsi.
“(Pembinaannya) bukan tak jadi, kita minta tangguh kerana berdepan kekangan kewangan. Jadi, kita sebenarnya hendak galakkan rakyat Malaysia untuk menerima konsep endowment, untuk menyumbang. Kalau dapat ramai lagi orang menyumbang insya-Allah (dapat dibina dengan cepat),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perasmian dan pertukaran nama Hospital UiTM kepada Hospital Al-Sultan Abdullah oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di UiTM Kampus Puncak Alam, hari ini.
Kolej Jati pada 2017 dirobohkan selepas bangunan tersebut sudah terlalu usang dan akan digantikan dengan pembinaan Kompleks Arshad Ayub.
Bagaimanapun, sehingga kini tapak berhampiran Bulatan Bestari itu masih kosong dan poster perancangan kompleks berkenaan yang sebelum ini menutupi keliling kawasan tersebut sudah pun dialihkan.
Dalam pada itu, Roziah memberitahu, beliau berharap pembinaan Kompleks Arshad Ayub diharap dapat meningkatkan kemasukan mahasiswa dari luar negara untuk menyambung pengajian pasca siswazah secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan UiTM di peringkat global.
“Ada dua komponen, satu adalah blok akademik dan juga komersial untuk jana pendapatan universiti. kedua pula ada bangunan tinggi bagi kediaman. Itu yang kita fokus kepada mahasiswa khususnya dari luar negara dan juga pertimbang dibuka kepada awam, bergantung dengan pelaksanaannya bila siap nanti.
“Sekarang ini pusatnya berada di dalam (kampus Shah Alam). Cuma, bila siap nanti kompleksnya, itulah dijanjikan untuk kita perbaiki AAGBS dan dibesarkan supaya ramai lagi mahasiswa pasca siswazah dapat diambil. Cuma bila hendak nampak lebih terlihat, haraplah dibina diluar,” jelasnya. – UTUSAN