Gunung Inas: Nama saya tiada - Mahdzir - Utusan Malaysia

Gunung Inas: Nama saya tiada – Mahdzir

MAHDZIR Khalid (dua kiri) melihat hasil tanaman yang diusahakan penduduk kampung selepas mendengar Taklimat Khas Prospek Pedu di Kampung Padang Setol, Mukim Pedu hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid enggan diheret dalam isu penerokaan puncak Gunung Inas yang dikaitkan sebagai punca utama tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kupang, Baling pada minggu lalu.

Mahdzir yang menjadi Menteri Besar Kedah sejak 2005 hingga 2008 berkata, beliau tidak ada kena mengena terhadap isu tersebut yang kini menjadi perhatian membabitkan dua lagi bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

“Tak payah tanya, biar mereka bergaduh, nama saya tak ada dalam itu, sudahlah. Jangan pandai-pandai pula, biarlah mereka bergaduh, cerita itu cerita kemudian (selepas pentadbirannya),” katanya ringkas selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu di Kampung Padang Setol, hari ini.

Kelmarin Mukhriz mendakwa, penanaman durian Musang King di Gunung Inas yang dikaitkan dengan punca tragedi terbabit dibuat Ahmad Bashah ketika menjadi Menteri Besar pada 2016 hingga 2018.

Bagaimanapun Ahmad Bashah sehingga kini masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan dakwaan Mukhriz, selain usaha mendapatkan maklum balas beliau juga belum berhasil.

Pada 6 Julai lalu, Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) memaklumkan, mereka secara dasarnya telah mendapat kelulusan untuk pembangunan ladang hutan di Kompartmen 4 hingga 10 Hutan Simpan Gunung Inas berkeluasan 5,000 hektar bagi tujuan pembangunan itu pada 2008.

MBI berkata, kelulusan itu merupakan susulan kerajaan negeri pada 2007 untuk membangunkan Program Pembangunan Ladang Hutan di Kedah yang memeterai usaha sama dengan Aman Mega Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat Kumpulan ECK.

Dalam pada itu Mahdzir berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi perhatian serius terhadap tindakan waris kesultanan Sulu yang menjadikan aset Malaysia di luar negara sebagai sasaran tuntutan mereka.

Ini kerana jelas beliau, KPLB mempunyai beberapa aset strategik merangkumi bangunan dan hotel yang dimiliki MARA Inc. yang dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit.

Jelasnya, KPLB akan terus memantau isu berkenaan termasuk memastikan waris kesultanan Sulu tidak menjadikan aset anak syarikat kementerian itu sebagai sasaran selepas apa yang terjadi terhadap Petronas di Azerbaijan, baru-baru ini.

“Saya lihat benda ini satu perkara yang agak serius, walaupun kita telah mohon tangguh keputusan timbang tara di Sepanyol dan sekarang kita minta dibatalkan di Mahkamah Perancis pula. Tetapi ‘keluarga’ ini guna keputusan di Sepanyol dan pergi merata tempat cuba ambil harta Malaysia,” katanya.

Tambah Mahdzir, beliau baru sahaja berbincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi membincangkan isu berkenaan secara lebih lanjut.

“Tetapi jika kita dapat keputusan (memihak kepada Malaysia) di Perancis, kita kekal dan dia tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Difahamkan, selain aset di London dan Melbourne, MARA turut memiliki bangunan di Amerika Syarikat dan Mesir yang berkemungkinan turut menjadi sasaran waris kesultanan Sulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya