PETALING: Menggunakan demonstrasi jalanan bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan yang juga menyebabkan inflasi kos sara hidup adalah langkah kurang tepat sebaliknya perlu menggunakan ‘kuasa’ pengguna.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, masyarakat perlu menggunakan kuasa pengguna sendiri seperti beralih kepada barangan lain atau penjual lain.
Menurut beliau, pengguna boleh menurunkan harga barangan menggunakan hak mereka kerana apabila penekanan diberikan maka akan terjadinya ‘harga runtuh’ demi memikat pembeli semula.
“Kita tidak boleh mendesak kerajaan untuk menurunkan harga barang kerana kuasa itu berada di tangan pengguna. Seperti sebelum ini, apabila pengguna beralih seperti tidak membeli bekalan ayam hingga kita boleh nampak peladang risau dan ada yang menawarkan harga serendah RM6 untuk sekilogram.
“Ini bermaksud kuasa untuk turunkan harga barangan asas dan sebagainya terletak pada genggaman pengguna sendiri. Tanggungjawab kerajaan pula, memastikan bekalan sentiasa mencukupi, harga di tangan pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan, kira-kira 100 peserta Perhimpunan Turun Harga Barang yang juga disertai beberapa parti politik daripada pembangkang antaranya PKR, DAP, Muda dan Amanah cuba berarak menuju ke Dataran Merdeka secara aman.
Perhimpunan berkenaan dipercayai dianjurkan Gabungan Mahasiswa bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.
Mengulas lebih lanjut, Samsudin mengakui faham akan tuntutan dan objektif perhimpunan itu dilakukan keranan ‘bahang’ tekanan daripada kenaikan kos sara hidup dimana hampir seluruh harga barangan keperluan asas meningkat.
Namun jelasnya, perhimpunan itu akan menjejaskan pandangan masyarakat luar negara yang mempunyai persepsi Malaysia sebagai negara aman walaupun perhimpunan itu dilakukan secara aman tanpa sebarang kekecohan.
“Saya faham itu adalah emosi yang cuba diluahkan oleh masyarakat kerana tertekan dengan harga barang dan keadaan ekonomi, ia juga bukan berlaku pada negara kita tetapi di negara luar juga.
“Tetapi kita perlu ingat Malaysia dikenali sebagai negara yang sangat aman, walaupun apa peserta perhimpunan itu cuba sampaikan adalah satu luahan kepada kerajaan tetapi pada pandangan masyarakat luar ia akan mencalarkan perspektif kepada negara kita,” katanya.- UTUSAN










