KOTA BHARU: Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menyanggah kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mengatakan parti itu ‘penakut’ apabila menggunakan logo Barisan Nasional (BN) setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pendekatan UMNO untuk menggunakan logo BN membuktikan parti itu ikhlas dalam membentuk kerjasama parti-parti lain dan bukan kerana takut kalah.
Menurutnya, penggunaan logo itu tidak timbul kerana keputusan tersebut sudah dimeterai kukuh menerusi kerjasama antara parti-parti dalam gabungan BN.
“UMNO jelas tidak bersikap sebagai ‘abang besar’ seperti yang didakwa oleh beberapa orang pimpinan Pas sebelum ini.
“Untuk makluman, tiada paksaan dalam rundingan berkait penggunaan logo antara UMNO dengan gabungan-gabungan parti lain di dalam BN,” katanya selepas menjawab kenyatan Mohd. Amar yang mengatakan UMNO sesuai dilabelkan sebagai parti ‘penakut’ apabila tidak pernah berani untuk menggunakan logo sendiri setiap kali PRU atau PRN.
Noor Hariri memberitahu, UMNO kekal optimis dengan BN yang telah terbukti diterima dan diyakini oleh seluruh rakyat sebelum ini.
Katanya, situasi itu berbeza dengan gabungan di dalam Perikatan Nasional (PN) apabila Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat banyak mendahului keputusan dan merujuk rakan sekutu iaitu Pas.
“Buat apa kita ingin mengubah sesuatu yang sudah elok. Nasihat saya kepada Pas, baikilah segera kelemahan yang ada pada kerajaan negeri di Kelantan. Selesaikan dulu isu-isu asas utama yang melibatkan kepentingan rakyat biar selari dengan slogan Membangun Bersama Islam,” jelasnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Mohd. Amar berkata, dalam sejarah politik tanah air, UMNO tidak pernah sekali pun menggunakan logo mereka setiap kali bertanding dalam PRU sebaliknya bergantung kepada lambang lain seperti Perikatan dan BN.
“Siapa sebenarnya yang takut dalam soal ini?” Soalnya dengan menegaskan dakwaan mengatakan Pas takut untuk menggunakan lambang sendiri tidak betul.
“Kalah atau menang Pas tetap teguh menggunakan logo parti ini. Sebaliknya UMNO tidak pernah berani menggunakan logo mereka,” kata Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan. – UTUSAN









