Gobind mohon cabar keterangan saksi

Gobind mohon cabar keterangan saksi

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes penyelewengan wang anggaran RM1 juta semasa memegang jawatan Ketua Armada Bersatu. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaaan mewakili Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa atas penyelewengan wang RM1 juta akan mencabar kredibiliti keterangan salah seorang saksi pendakwaan kes itu.

Peguam bela, Gobind Singh Deo memberitahu perkara tersebut kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.

Keterangan yang ingin dicabar ialah keterangan yang diberikan oleh bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali, 32, yang juga saksi pendakwaan ke-13.

Gobind mengemukakan perkara tersebut selepas mendapati terdapat percanggahan antara kenyataan lisan dan penyataan saksi yang dibuat semasa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak ditanda sebagai eksibit di mahkamah. 

“Sebelum perbicaraan, selalunya saksi akan menyediakan kenyataan dan dibaca di mahkamah, tetapi, dalam keadaan ini saksi tidak menggunakannya dan memilih menerangkan secara lisan dan kami mendapati terdapat kenyataan yang bercanggah. 

“Kami sudah mendapat dokumen ini dan ingin mencabar saksi malah saksi sendiri mengaku ada percanggahan dalam keterangannya. Oleh itu, kami memohon supaya hakim menggunakan budi bicaranya untuk menentukan jika terdapat percanggahan.  

“Maka, pihak pendakwa dan saksi akan menghantar kepada hakim dan terangkan mengapa dirasakan ada percanggahan manakala hakim lain pula akan membuat keputusan lain jika ada atau tidak saksi menyediakan salinan dokumen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding perbicaraan hari ini. 

Terdahulu sewaktu sesi soal balas, Gobind merujuk Rafiq Hakim kepada keterangannya di mahkamah kelmarin berhubung perjumpaan antara dia dan bekas Penolong Setiausaha Armada Bersatu, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 32  di rumah Syed Saddiq.

Menurut Rafiq Hakim pada pertemuan tersebut Syed Saddiq bertanya mengenai baki wang di dalam akaun bank milik Armada dan mengarahnya untuk mengeluarkan RM1 juta tunai bagi tujuan program sayap parti. 

Gobind: “Adakah ini benar di rumah Syed Saddiq ada bertanya berapa wang di dalam akaun lebih kurang RM1.8 juta kemudian diarahkan keluarkan RM1 juta?”

Rafiq: “Betul.” 

Gobind kemudian merujuk kenyataan saksi secara bertulis semasa siasatan oleh SPRM merujuk halaman 115 dan 116, yang membuktikan Syed Saddiq tidak bertanya jumlah wang dan baki di dalam akaun berkenaan. 

Gobind: “Nampak? Kenyataan kamu di mahkamah dan apa yang kamu sebut dalam kenyataan saksi berbeza. Keterangan kamu tidak benar. Memang tiada permintaan daripada Syed Saddiq berkenaan jumlah dalam akaun iaitu RM1.8 juta dan arahan keluarkan RM1 juta seperti kamu katakan.”

Rafiq: “Setuju (ada percanggahan).” 

Perbicaraan bersambung esok. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN