Gagal uruskan buangan berjadual, 2 kilang logam dikompaun RM10,000 - Utusan Malaysia

Gagal uruskan buangan berjadual, 2 kilang logam dikompaun RM10,000

SEBAHAGIAN buangan berjadual yang gagal diuruskan oleh dua buah kilang berasaskan logam di Butterworth hingga menyebabkan JAS Pulau Pinang terpaksa mengeluarkan kompaun bernilai RM10,000 atas kesalahan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Dua buah kilang dikompaun sebanyak RM10,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang kelmarin kerana gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kedua-dua kilang itu beroperasi di Kawasan Perusahaan Perai dan terlibat dengan industri perusahaan berasaskan logam.

Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan, kegagalan menguruskan buangan berjadual itu meliputi isu pelabelan, penstoran serta penyediaan inventori buangan yang betul.

“Persampelan terhadap buangan terjadual itu turut dijalankan oleh pasukan penguat kuasa JAS sebelum sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Pulau Pinang untuk dianalisis.

“Pada masa sama, bekas-bekas yang mengandungi buangan terjadual ini turut disita dan notis arahan juga dikeluarkan bagi memastikan kaedah pelupusan yang akan diambil oleh pihak premis mematuhi kehendak perundangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sharifah Zakiah turut mengingatkan pihak industri supaya sentiasa memastikan tahap pengurusan buangan terjadual yang dikeluarkan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Dalam hal ini, JAS sentiasa bersedia untuk membantu pihak industri atau pemaju yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan pengurusan buangan terjadual.

“Justeru, pemilik atau pengusaha premis yang berkenaan boleh menghubungi atau menghadiri latihan-latihan yang disediakan (oleh JAS Pulau Pinang) dari semasa ke semasa untuk tujuan itu,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya