Flat dijadikan tempat proses, jual ketum diserbu - Utusan Malaysia

Flat dijadikan tempat proses, jual ketum diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis berjaya membongkar kegiatan pemprosesan dan penjualan air ketum di bagi pasaran di sekitar daerah ini selepas dua individu ditahan di sebuah flat di Lembah Subang di sini, Jumaat lalu.

Penahanan kedua-dua suspek warga tempatan berusia 51 dan 47 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 4.45 sehingga 5.15 pagi hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polisnya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal dijalankan mendapati kedua suspek bertindak sebagai tukang masak air ketum di lokasi berkenaan yang dijadikan tempat memproses air ketum.

Kata beliau, selain menjalankan kegiatan pemprosesan, rumah yang diserbu itu turut dikesan sebagai lokasi penjualan air ketum kepada pengguna di sekitar lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan dijalankan di unit rumah tersebut berjaya menemukan 380 bungkusan berisi air ketum di dalam tiga tong ais serta empat bungkusan hitam berisi daun ketum dan 100 bungkusan biru berisi daun ketum.

“Selain itu, turut dirampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk memasak air ketum seperti periuk besar (tiga unit) dapur memasak (tiga unit) dan pelbagai peralatan lain dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 10,140,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPD Petaling Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, semakan dijalankan mendapati kedua suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau.

“Hasil ujian saringan mendapati kedua suspek negatif dadah.

“Kedua suspek direman empat hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952(Pindaan 1980),” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN