Dua remaja maut dalam MPV bukan penghuni kondominium

Dua remaja maut dalam MPV bukan penghuni kondominium

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendapati dua remaja yang ditemukan mati dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di ruang parkir sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, pada 29 Mei lalu, tiada kaitan dengan mana-mana penghuni kondominium berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ia berdasarkan siasatan dan rakaman keterangan lebih 15 individu sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

“Setakat ini, kita dapati kedua-dua mangsa tiada kena-mengena dengan pemilik parkir atau penghuni di kondominium itu. 

“Kita sudah merakam keterangan ramai pihak termasuk ahli keluarga kedua-dua mangsa, kenalan, pihak kondominium dan individu sekelilingnya yang dipercayai boleh membantu siasatan. 

“Semua keterangan itu perlu untuk kita mendapatkan kesimpulan kes bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia mengenai punca kematian dua remaja terbabit.

Kata beliau, laporan itu mengambil masa memandangkan ia membabitkan agensi berbeza. 

Sebelum ini media melaporkan, polis menerima laporan kehilangan dua remaja yang masing-masing dibuat ahli keluarga di Klang dan Shah Alam, Selangor pada 23 dan 24 Mei lalu.

Dua remaja itu kemudian ditemukan meninggal dunia di dalam MPV berkenaan hasil maklumat daripada orang awam pada pukul 8.26 malam.

Siasatan di lokasi menemukan mayat remaja perempuan di bahagian penumpang hadapan, manakala lelaki terbabit berada di bahagian penumpang belakang MPV berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.