PETALING JAYA: Dua lagi suspek ditahan semalam bagi membantu siasatan pembunuhan lelaki warga asing dalam pergaduhan di Jalan Tun H S Lee dekat sini Selasa lalu.
Penahanan tersebut menjadikan keseluruhan tiga suspek termasuk suspek utama ditahan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner, Noor Dellhan Yahaya berkata, dua tangkapan itu, masing-masing di Brickfields dan Petaling Jaya.
“Suspek utama berusia 46 tahun serta seorang suspek berusia 40 kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Julai.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Buat masa ini, motif serta punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noor Dellhan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki ditemukan mati manakala dua lagi parah selepas terbabit pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing.
Ketiga-tiga mangsa berusia antara 30 hingga 40 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh anggota polis sebaik menerima laporan pada 2.26 petang.
Pemeriksaan mendapati seorang daripada mangsa meninggal dunia dan dua lagi cedera di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
Polis turut menemukan sebilah pisau tidak jauh dari tempat kejadian, sebelum berjaya menahan lelaki warga asing berusia 52 tahun pada 5 petang hari sama.- UTUSAN