PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya dua buah hospital akan menghadapi krisis kekurangan pegawai perubatan tidak lama lagi.
Hospital itu adalah Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tunku Azizah berikutan pergerakan keluar Pegawai Perubatan Junior (Floaters) bermula 18 Julai ini.
Malah, hartal turut memuat naik surat jemputan yang berjudul ‘Sesi Perjumpaan Pegawai Perubatan Bidang Pengurusan’ yang dikeluarkan oleh pihak Pengurusan Tertinggi Hospital Kuala Lumpur.
Dalam surat tersebut, Timbalan Pengarah Perubatan II Hospital Kuala Lumpur, Dr. Marina Abdullah Sani menjemput semua pegawai perubatan pengurusan di jabatan masing-masing bagi membincangkan penyelesaian isu ini.
Sesi perbincangan itu akan diadakan di Auditorium Utama Hospital Kuala Lumpur pada pukul 3 hingga 5 petang hari ini.
“Kami sudah beritahu perkara ini akan berlaku dan ia akan menjadi lebih parah.
“Sebelum ini, mereka hanya cukup-cukup makan ada doktor untuk rawat pesakit di Hospital Kuala Lumpur, tapi sekarang mungkin tidak lagi,” kata gerakan itu dalam kenyataannya di media sosial.
Tambahnya, sehingga ke hari ini, Kementerian Kesihatan masih enggan mengakui bahawa mereka berdepan masalah kekurangan pegawai perubatan. – UTUSAN










