Dia sentiasa di sisi - Vanidah Imran

Dia sentiasa di sisi – Vanidah Imran

VANIDAH Imran kembali bergelar isteri setelah empat tahun hidup sendiri - IHSAN LUXURYCAPTUREPHOTOGRAPHY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Vanidah Imran, 43, menyifatkan lelaki yang kini suaminya, Arifabillah Idris, 43, adalah individu yang sentiasa ada di sisinya sejak berkenalan tujuh tahun lalu sebagai seorang sahabat. 

Vanidah atau Vee berkata, hubungan persahabatan itu menjadi semakin rapat dan menimbulkan bibit-bibit cinta ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Ketika PKP yang pertama, kami sesekali berhubung di telefon atau aplikasi WhatsApp. Kami banyak berbual tentang soal kerja, kehidupan dan anak masing-masing.

“Bagaimanapun keakraban itu berlaku tanpa disedari. Ia terjadi secara semula jadi. Ibarat masing-masing tahu mula terbit rasa sayang. Rasa (cinta) itu dari tuhan. Kesungguhan dan keikhlasan dia cuba mendekati dan memahami saya amat memikat hati. 

“Biarpun berbeza usia enam tahun, itu bukan halangan besar kerana kami masing-masing ada tanggungjawab. Dia bukan jenis lelaki yang pandai ‘mengayat’ dan terlalu romantik. Tetapi dia selalu berada di sisi saat saya tak mampu menangani tanggungjawab dan bebanan yang menjelma,” katanya. 

Vanidah mengejutkan ramai apabila mengumumkan bernikah dengan seorang jurutera yang juga pesilat negara dalam sebuah majlis yang diadakan di Titiwangsa, di sini, semalam.

Majlis akad nikah dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),  Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah iaitu Johan.

Majlis yang diadakan secara tertutup itu dihadiri seranai 50 tetamu di kalangan keluarga dan teman rapat.

Dalam pada itu, Vanidah dan suaminya memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran atas permintaan keluarga.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu bagaimanapun ada alasan beliau mengunci mulut mengenai hal ini. 

Menurutnya, hanya rakan-rakan rapat, keluarga dan dua anaknya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika mengetahui hubungan cinta itu terjalin.

“Ada ketikanya, timbul rasa tidak yakin dengan keputusan mahu membina kehidupan baharu apatah lagi sudah empat tahun saya hidup sendiri. Keputusan berkahwin lagi ini sangat sukar. Malah ketika menyuarakan hasrat ini kepada abah pun, dia agak keberatan.

“Namun selepas diyakinkan ramai pihak termasuk dua anak, abah bagi green light. Akhirnya, abah percaya anaknya juga berhak menikmati kebahagiaan,” katanya berterus terang. 

 Vanidah mengakui ada kawan rapat terkejut dengan berita  itu, namun pada masa sama tumpang gembira.

“Bagi saya sisi peribadi kali ini kenalah disimpan erat sampai betul-betul jadi serta pasti. Nikah, kahwin ini bukannya semudah menukar baju,” katanya. 

Pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan, banyak faktor diambil kira sebelum memikirkan soal hati sendiri.

“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

“Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak juga perlu diutamakan.

“Selama mengenali hati budi masing-masing, saya sendiri melihat dia pandai mengambil hati anak. Penerimaan anaknya terhadap saya juga positif,” katanya.

Untuk rekod, Vanidah pernah mendirikan rumahtangga dengan Rashidi Ishak pada Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata. Mereka bagaimanapun berpisah pada Ogos 2018. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya