MELAKA: Terdapat bayangan bahawa bakal berlaku undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 25 Julai ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong mendakwa, terdapat desas-desus mengatakan ada pihak kini sedang sibuk mendesak untuk mengambil-alih tampuk kepemimpinan kerajaan negeri.
Ahli Jawatankuasa DAP Melaka itu berkata, Barisan Nasional (BN) sepatutnya memberi fokus kepada penyelesaian empat isu yang harus disegerakan melibatkan kepentingan awam iaitu banjir, sekuriti makanan, penstabilan harga barangan dan inflasi serta kesesakan lalu-lintas dalam Sidang DUN itu nanti.
“Saya akan mengusulkan keempat-empat isu ini dalam Sidang DUN akan datang supaya kerajaan negeri menubuhkan jawatan kuasa yang berkaitan dengan segera.
“Tetapi ada desas-desus yang mengatakan sesetengah pihak pula sibuk mendesak untuk mengambil-alih tampuk pimpinan.
“Saya mencabar pihak yang sibuk dengan pergelutan kuasa menyokong usul ini yang pasti akan mendapat cara penyelesaian setelah berbahas nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Mei lalu, spekulasi bertiup kencang mendakwa, Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.
Bagaimanapun, ADUN Lendu itu menafikan perkara tersebut dan menegaskan beliau masih menjawat posisi berkenaan serta terus berkhidmat dengan sehabis baik, sedaya upaya selagi mana dikehendaki pucuk pimpinan. – UTUSAN











