SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menguatkuasakan undang-undang di bawah Seksyen 18(1F) Akta Air 1920 dalam masa terdekat bagi mengekang isu pencemaran air yang berlaku di negeri ini.
Menerusi peruntukan undang-undang tersebut, ia membenarkan Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri untuk mengeluarkan kompaun sehingga maksimum RM250,000 kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dengan merosakkan sumber air.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun Negeri Sembilan sedikit lewat berbanding negeri lain melaksanakan peraturan berkenaan, namun langkah awal yang sedang dilakukan adalah penting agar masalah serupa tidak berulang.
“Tahun lepas sahaja, terdapat tujuh kes pencemaran air di negeri ini direkodkan antaranya melibatkan kes seperti melepaskan air cucian dari ladang ayam dan kes perlombongan pasir yang hampir dengan tebing.
“Walaupun hanya tujuh kes, kerajaan negeri ambil serius, kerana perkara ini besar, dan kita tidak mahu berlaku isu air minuman kita tercemar.Di negeri lain telah berjalan tetapi di Negeri Sembilan akan laksanakan dalam tempoh terdekat. Kita sedang menyiapkan makmal dan pegawai daripada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. untuk membantu mengenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, garis panduan kesalahan-kesalahan dalam penguatkuasaan undang-undang tersebut akan keluarkan oleh BKSA dan ia akan diuar-uarkan kepada masyarakat.
“Ini bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur tentang kawalan air di Negeri Sembilan. Sebelum ini, jika berlaku pencemaran air, kita tidak dapat untuk mengambil tindakan di peringkat BKSA.
“Oleh itu kami harap dengan adanya peraturan dan undang-undang ini dapat membolehkan kita untuk mengenakan kompaun dan denda kepada pihak yang merosakkan sistem air di negeri ini,” katanyai.
Jelas Menteri Besar, menerusi peraturan tersebut, ia tidak semestinya melibatkan hukuman kompaun tetapi BKSA juga boleh meminta untuk pihak bertanggungjawab untuk membersihkan pencemaran yang dilakukan jika ia adalah kesalahan pertama dan tidak serius. – UTUSAN